'Jangan polemikkan isu perkahwinan Illi Najwa, Manpreet Singh'

Zainul Rijal
Zainul Rijal
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta semua pihak khususnya orang ramai agar tidak mempolemikkan isu perkahwinan gadis kelahiran Johor, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique, 27 dengan kapten pasukan hoki kebangsaan India, Manpreet Singh Pawar,28 yang mencetuskan kontroversi apabila ia didakwa dilakukan mengikut ritual agama lain di India.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun banyak persoalan masih belum terjawab sama ada Illi Najwa telah murtad atau tidak, adakah perkahwinan mereka sah atau tidak, pihaknya berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan baik bukan dengan menyalahkan keluarga pengantin, kerajaan mahupun parti politik.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah disebabkan kehendak peribadi seseorang yang tiada melibatkan pihak lain.

"PPMM menyeru agar pengantin wanita tersebut bersama suaminya kembali ke Malaysia dengan kadar segera bagi memberi penjelasan kepada pihak berkuasa mengenai perkara yang ditimbulkan.

"Pada pandangan peribadi saya, hukuman bukanlah suatu pilihan yang perlu diutamakan tetapi menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Zainul Rijal berkata, remedi perundangan untuk membawa pulang mereka secara paksa mungkin sukar dilaksanakan kerana jika benar sekalipun perkahwinan berbeza agama berlaku, ia dilakukan di India yang membenarkan perkahwinan sedemikian.

Beliau berkata, kedudukan perundangan di India dalam isu ini berbeza dengan Malaysia.

Menurutnya, jika terbukti berlaku perkara yang mensyirikkan ALLAH SWT, perlulah diajak mereka supaya bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi di samping memberi panduan yang sebaiknya kepada mereka untuk mengemudi rumahtangga agar mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika mereka masih ingkar bolehlah tindakan perundangan diambil terhadap mereka.

"Jika berlaku sebarang pelanggaran kepada mana-mana undang-undang khususnya Undang-undang Keluarga Islam di negeri berkenaan, tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap mana-mana orang yang melanggarnya seperti mana kes-kes yang lain.

"Sekiranya berlaku walau seorang umat Islam yang keluar dari agama Islam, kita semua sama ada pemimpin negara atau negeri, penguasa agama, pimpinan NGO Islam, ibu bapa ataupun muslim di jalanan mesti muhasabah diri kenapa perkara ini berlaku dan perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara ini.

"Sudah sampai masanya kita meneliti kembali sistem pendidikan kita di sekolah dan masjid-masjid, kembali kepada budaya leluhur kita yang mementingkan agama dan adab serta memperkemaskan jati diri," katanya.

Tegasnya, hal sebegini tidak patut didiamkan dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu tersebut dengan mendapatkan kepastian kepada persoalan-persoalan yang dibangkitkan.

Katanya, tahniah juga kepada pihak kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan ataupun di Negeri Johor kerana cepat bertindak dan mengeluarkan kenyataan bagi menangani isu berkenaan.