Mangsa banjir dijangka mula pulang ke rumah

ADUN Chukai, Hanafiah Mat (dua, kanan) meninjau kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong yang dinaiki air pada Sabtu. - Foto Ihsan Facebook Haji Hanafiah Mat
ADUN Chukai, Hanafiah Mat (dua, kanan) meninjau kawasan Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong yang dinaiki air pada Sabtu. - Foto Ihsan Facebook Haji Hanafiah Mat
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kebanyakan mangsa banjir di Teregganu dijangka mula pulang kerumah hari ini berdasarkan keadaan cuaca yang semakin baik di beberapa kawasan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding lewat malam pada Ahad.

“Fasa keempat bencana banjir di Terengganu yang memasuki hari kelima hari ini menyaksikan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu masih dilanda banjir dengan seramai 7,780 mangsa daripada 1,822 keluarga masih ditempatkan di 53 buah PPS.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir pagi ini dilihat berkurangan berbanding data yang dikeluarkan lewat malam tadi yang mencecah sehingga 8,015 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, setakat ini daerah Kemaman masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 6,865 mangsa daripada 1,570 keluarga masih ditempatkan di 31 buah pusat pemindahan di daerah terbabit.

Daerah Dungun pula merekodkan seramai 807 mangsa daripada 226 keluarga yang ditempatkan di 17 buah PPS manakala daerah Hulu Terengganu mencatatkan seramai 97 orang daripada 23 keluarga ditempatkan di tiga buah PPS diikuti Setiu seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga masih di tempatkan di sebuah PPS.

Che Adam berkata, beberapa lembangan sungai utama di negeri ini menunjukkan trend menurun di sebelah hulu atau di kawasan pedalaman.

“Laporan semasa Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) memaklumkan keadaan semasa keseluruhan negeri terutama di daerah Kemaman semakin baik pagi ini dan kita jangka penduduk terjejas banjir akan pulang ke rumah bagi membersihkan kediaman.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menunjukkan sebahagian besar lembangan sungai menujukkan penurunan kerana hujan tidak turun pada awal pagi dan lewat malam tadi,” katanya.