[VIDEO] Ku Nan bersalah terima rasuah RM2 juta

Tengku Adnan tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan pertuduhan kes rasuah yang dikenakan terhadapnya.
Tengku Adnan tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan pertuduhan kes rasuah yang dikenakan terhadapnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan berkenaan.

Beliau membuat keputusan itu selepas selesai membaca penghakimannya bagi kesemua pertuduhan selama 25 minit.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, tertuduh tidak menafikan wang RM2 juta itu dimasukkan ke akaun Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) dan mendakwa ia digunakan untuk dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun katanya, mahkamah mendapati kedudukan tertuduh ketika kejadian adalah meragukan yang mana Ku Nan tidak menjawat jawatan sebagai Bendahari UMNO.

“Tertuduh ketika itu selaku Setiausaha UMNO malah bukan ahli Parlimen kawasan bagi dua PRK berkenaan.

“Maka timbul keraguan, apabila wang berkenaan dikatakan digunakan untuk PRK tersebut,” katanya.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Artikel Berkaitan:

Prosiding mahkamah berehat seketika antara 30 dan 45 minit selepas pasukan pembelaan memohon untuk membuat persiapan mitigasi sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Ku Nan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta.

Wang itu daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Bendahari UMNO itu didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi keputusan pertuduhan kes rasuah yang dikenakan terhadapnya.