Melaka United FC mampu beri cabaran

Sulaiman (barisan depan, empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa baharu pada Kongres MUSA ke- 65 di Bandar Hilir, Melaka pada Ahad.
Sulaiman (barisan depan, empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa baharu pada Kongres MUSA ke- 65 di Bandar Hilir, Melaka pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali tetap optimis dengan persiapan Melaka United FC (MUFC) meskipun peruntukan untuk pasukan itu dikurangkan bagi musim 2021.

Beliau percaya pasukan MUFC yang bakal dibentuk pengendali, Zainal Abidin Hassan mampu menampilkan satu barisan yang mantap untuk memberi cabaran kepada pasukan lawan dalam Liga Malaysia.

“Peruntukan memang kurang sedikit disebabkan kita semua faham sepanjang pandemik Covid-19 ramai yang terkesan, tapi bagi saya walaupun peruntukan kurang sekalipun, pemain yang kita ada masih boleh memberikan prestasi terbaik.

“Maklumat lanjut mengenai pemain baharu dijangka diumumkan dalam seminggu lagi, kerana masih ada beberapa perkara perlu diselesaikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres MUSA ke-65 di sini pada Ahad.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah peruntukan yang dikurangkan bagi skuad itu untuk 2021.

Terdahulu, seramai 88 perwakilan memilih calon bagi jawatan naib presiden dan barisan exco baharu menerusi proses pengundian kepimpinan pengurusan baharu badan induk bola sepak itu, pada kongres satu hari itu.

Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka secara automatik menjawat jawatan Presiden MUSA mengikut perlembagaan persatuan itu dan jawatan itu tidak dipertandingkan.

Jawatan Timbalan Presiden MUSA kekal milik Datuk Mohd Yusoff Mahadi, selepas beliau tidak dicabar oleh mana-mana pihak pada kongres kali ini.

Artikel Berkaitan:

Naib Presiden MUSA bagi sesi 2020 hingga 2023 disandang Datuk Shadan Othman, Datuk Sazali Muhd Din, Datuk Khairi Anuar Ahmad dan Noor Azman Rahman.

Sementara itu, Ahmad Roslee Hamzah diumumkan sebagai Setiausaha Agung baharu, menggantikan Asri Ninggal yang kembali menjadi penolong jurulatih pasukan.

“Tahniah kepada kepimpinan baharu yang dilantik. Saya berharap kepimpinan baharu ini menjalankan amanah dan tanggungjawab demi meneruskan kesinambungan kemajuan bola sepak negeri ini,” katanya. - Bernama