Sahabiyyah nabi di Cyprus

No Image Caption
A
A
A

REPUBLIK Turki Cyprus (sebutan: sai-prēs) Utara (RTCU) di utara pulau Cyprus (bahasa Inggeris) atau Qubrus (bahasa Arab) adalah seluas 3,500 km persegi dan diduduki oleh kaum etnik Turki.

Ia tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia kecuali Republik Turki. Republik Cyprus (RC) di selatan pulau itu seluas 5,750 km persegi diduduki kaum etnik Yunani. Ia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lebih 100 negara di dunia.

Pembahagian Cyprus kepada dua bahagian ini berlaku selepas serangan askar Turki pada bulan Julai dan Ogos 1974 akibat kudeta EOKA-B sebuah organisasi teroris paramilitari Yunani yang mahu menyatukan seluruh Cyprus dengan Greece.

Masjid Lala Mustafa Pasha di Famagusta di RTUC ialah bangunan zaman pertengahan yang asalnya adalah sebuah katedral Katolik pada tahun 1328. Apabila Empayar Uthmaniyyah menguasai Famagusta pada tahun 1571, ia dijadikan sebagai sebuah masjid bersempena nama wazir besar Uthmaniyyah yang berasal dari Sokolovići di Bosnia. Dengan arahan Sultan Murad III, pemimpin itu telah menyerang tentera Venetia.

Kompleks Masjid Umm Haram atau Hala Sultan Tekke mengandungi masjid, makam Umm Haram, tempat pertemuan sufi serta kubur. Ia terletak di luar RTUC di sebuah pelabuhan yang bernama Larnaca. Orang Turki menggelar Umm Haram Milhan, sahabiyyah serta ibu saudara (sebelah bapa) Rasulullah SAW sebagai Hala Sultan.

Umm Haram ialah isteri ‘Ubādah bin al-Sāmit dan juga saudara perempuan Umm Sulaim. Keluarga kedua-dua sahabiyyat ini sangat rapat dengan Rasulullah SAW. ‘Ubādah ialah seorang daripada 12 orang dari kota Yathrib yang mengucapkan dua kalimah syahadah kepada Rasulullah di wadi ‘Aqabah.

Mereka semua dilantik oleh Baginda sebagai nuqaba dan kemudian menjadi golongan al-Ansar bila Rasulullah berhijrah ke Yathrib.

Hadis dalam Kitab Jihad, Sunan an-Nasa’i meriwayatkan secara terperinci bagaimana Rasulullah SAW menubuwahkan peristiwa Umm Haram Milhan mati syahid di pulau Qubrus itu. Kisah itu juga didapati dalam korpus Hadis al-Bukhari dan Muslim.

Artikel Berkaitan:

Daripada sumber itu, kita boleh merumuskan bahawa menurut Anas bin Malik, satu hari Rasulullah SAW memimpin solat berjemaah sunat di rumah keluarga mereka dan mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk mereka. Yang menjadi makmum ialah dirinya sendiri, ibunya Umm Sulaim dan ibu saudaranya Umm Haram. Rasulullah SAW menubuwahkan bahawa Umm Haram akan terlibat dalam angkatan jihad ke Qubrus.

Apabila umat Islam telah membuka negeri Syam serta Iraq untuk Islam, kapal-kapal Kristian Bizantin atau Rumawi Timur terus menyerang pelabuhan-pelabuhan Islam. Antara angkatan laut Bizantin itu ada yang belayar dari Qubrus. Khalifah Uthman ‘Affan mengarahkan Mu‘awiyah Abu Sufyan, gabenornya di Suriya untuk membangunkan sebuah angkatan laut. Suriya ialah istilah Arab yang merujuk kepada Greater Syria (sebutan: si-riya; dan bukan syi-riya), yakni negara Syam Raya zaman Rasulullah yang kini terbahagi kepada Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan.

Bila angkatan laut Islam yang dipimpin oleh Mu‘awiyah menyerang Qubrus, pihak Kristian memohon perdamaian. Umm Haram mengikut sama berjihad dan mendarat di pulau itu. Satu hari sedang ia menunggang keldai, dia terjatuh lalu meninggal dunia. Semoga Allah SWT meredai kesemua amal soleh para sahabat dan sahabiyyat yang disebut tadi.

Roshimah Shamsudin dan Mohd Yusri Yusuf telah menerbitkan makalah berjudul Women in Jihad: An Analysis from the Perspective of Hadith dalam The European Proceedings of Social and Behavioural Sciences 2019 berasaskan The Second International Conference on Humanities 2017. Kisah Umm Haram termasuk dalam kupasan akademik yang sangat menarik ini.

Pada musim panas tahun 1973, empat pelajar perubatan Malaysia (termasuk saya) yang belajar di Kaherah, Mesir telah menziarahi beberapa tempat bersejarah di pulau Cyprus yang kaya dengan sejarah Islam, Kristian dan Romawi.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penggiat masyarakat dan ahli Akademi Profesor Malaysia