Kehilangan besar buat negara

No Image Caption
A
A
A

PEMERGIAN dua tokoh, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah dan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid merupakan kehilangan besar buat negara. Allahyarhamah Tun Rahah, isteri kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mantan Perdana Menteri kedua, banyak menabur jasa kepada negara.

Sebagai pasangan kepada Perdana Menteri, Allahyarhamah banyak melibatkan diri dalam kerja kemasyarakatan dan menjulang kerja-kerja sosial dan sukarelawanan. Antaranya berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi).

Allahyarhamah merupakan Canselor Universiti Tun Abdul Razak, universiti yang ditubuhkan untuk memperingati jasa suaminya. Oleh sebab Tun Razak ialah Perdana Menteri yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, semua Duta Besar China membuat kunjungan hormat kepada Tun Rahah setelah tiba di Malaysia.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Tun Razak, beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.

Di sebalik tugasnya sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Allahyarhamah membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan membabitkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.

Allahyarhamah meninggal dunia pada 18 Disember 2020 di Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun. Tun Rahah telah diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Negara bagi mengenang jasa beliau sebagai seorang tokoh wanita negara dan telah disempurnakan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 19 Disember 2020.

Pemergian Allahyarham Ungku Aziz juga dirasai negara. Malah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap negara cukup berasa kehilangan atas pemergian Allahyarham yang merupakan tokoh tersohor dalam pelbagai bidang. Kerajaan menzahirkan penghargaan yang tinggi atas sumbangan besar Allahyarham Ungku Aziz yang banyak berjasa khususnya dalam memperjuang dan memperkasa bidang pendidikan, ekonomi dan institusi berkaitan orang Melayu dan Islam.

Semua menganggap jasa dan pengorbanan Allahyarham yang tiada tolok bandingnya akan sentiasa dikenang di minda serta hati setiap rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham iaitu seorang tokoh akademik dan ekonomi yang unggul dan amat disegani.

Allahyarham juga pencetus kepada idea untuk membantu orang Melayu dalam kalangan golongan miskin sehingga menjadi ikutan pentadbir universiti lain.

Jasa besar Allahyarham juga dikenang dalam penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Kedua-dua organisasi ini amat dekat dengan jiwa dan hati nurani orang Melayu yang meletakkan beliau tokoh Melayu tersohor dan jurutera sosial bangsa.

Allahyarham juga dikenali menerusi idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika menulis kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji’ kepada kerajaan pada 30 September 1959 sebelum lahirnya konsep TH hari ini.

TH kemudian ditubuhkan pada 30 September 1963 sebelum konsep diperkenalkan Allahyarham itu diperbaharui pada tahun 1969 apabila digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji.

Malahan Allahyarham juga seorang pakar ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada pembangunan agama, bangsa dan negara, termasuk dalam menangani isu kemiskinan di luar bandar.

Allahyarham ialah salah seorang yang terbabit dalam merangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Tun Razak pada tahun 1971.

Allahyarham Ungku Aziz meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada jam 4.30 petang, 15 Disember 2020. Allahyarham merupakan satu dalam sejuta dan pastinya pemergiannya adalah kehilangan besar buat negara dan ummah.

Pemergian Tun Rahah dan Ungku Aziz pastinya dikenang negara dan ummah atas gagasan idea dan jasanya. Sama-samalah kita berdoa semoga roh mereka dirahmati ALLAH dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara.