Kenapa takut dengan vaksin?

No Image Caption
A
A
A

VAKSIN mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh bertujuan membentuk imuniti (kekebalan) terhadap jangkitan penyakit khusus.

Hasil daripada pemahaman manusia tentang sebahagian daripada ilmu ALLAH dalam bab imunologi, didapati sistem imun boleh dididik dan dilatih menggunakan kuman yang lemah, kuman yang mati, anggota kuman atau toksin yang dikeluarkan oleh kuman. Inilah vaksin.

Dengan vaksin, sistem imun akan bersedia sekiranya kuman atau virus yang sebenar betul-betul menyerang. Ia boleh bertindak pantas dalam masa yang singkat. Kuman dibunuh tanpa ada gejala klinikal.

Apabila diberikan vaksin, seseorang mungkin akan demam atau sakit pada tempat yang disuntik. Itu adalah sebahagian daripada proses badan kita membina sistem pertahanan. Demam tersebut biasanya boleh dirawat dengan sekali atau dua kali pengambilan paracetamol.

Mereka yang tidak mengambil vaksin mungkin tidak akan mengalami kesan sampingan ini tetapi risiko untuk dijangkiti kuman yang berbahaya boleh menjadi sangat tinggi. Sekiranya dijangkiti, keadaan mereka mungkin menjadi teruk sebelum tubuh sempat membina sistem pertahanan.

Vaksin bukanlah perkara asing. Di Malaysia, bayi berusia sembilan bulan disuntik dengan vaksin campak, beguk dan rubella (MMR). KKM juga menyediakan perkhidmatan imunisasi untuk difteria dan kancing gigi (tetanus) bagi murid Tahun Satu, Human papillomavirus (HPV) bagi pelajar perempuan Tingkatan Satu dan ATT (dos tambahan vaksin tetanus) bagi pelajar Tingkatan Tiga.

Isu berkaitan vaksin dan antivaksin iaitu gerakan kumpulan penentang vaksin, kembali hangat diperkatakan rentetan Covid-19. Pelbagai analisis palsu oleh golongan antivaksin telah disebarkan di media sosial dan laman-laman web.

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila golongan antivaksin mempersoalkan kematian subjek kajian vaksin Covid-19 keluaran Pfizer. Pertikaian mereka menggambarkan mereka tidak membaca dengan teliti laporan yang dikeluarkan. Daripada enam kematian, empat kematian adalah daripada kumpulan kawalan, iaitu mereka yang sebenarnya diberikan plasebo, bukannya vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dua kematian daripada kumpulan yang diberikan vaksin Covid-19 adalah disebabkan serangan jantung dan aterosklerosis (salur darah mengeras). Ini bermakna kematian mereka disebabkan masalah atau penyakit lain yang mereka hidap dan bukan disebabkan vaksin yang telah diberikan. Semuanya tetap dilaporkan. Inilah ketelusan dalam kajian klinikal. Namun, golongan antivaksin tetap tidak akan menerima penjelasan ini.

Kajian klinikal setiap ubat termasuk vaksin tertakluk pada etika, metodologi dan protokol yang ketat. Walau apa jua kesan atau hasil, semuanya perlu dicatat. Jika benar kematian disebabkan vaksin, ia juga perlu dinyatakan sebegitu dan akan dianalisis dengan telus.

Sekiranya risiko mudarat benar-benar melebihi kepentingan penggunaan vaksin, ia wajib ditolak sebagaimana kajian pembangunan vaksin Covid-19 di Australia yang dihentikan.

Usah takut pada vaksin. Pada masa sama, patuhilah SOP yang telah dicadangkan oleh KKM bagi melindungi diri daripada penyakit, bukan hanya Covid-19 tetapi juga influenza dan penyakit-penyakit lain yang berjangkit melalui titisan pernafasan.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia.