Azizulhasni akhiri 2020 penuh bergaya

Azizulhasni (tengah) dan Shah Firdaus (kanan) masing-masing meraih pingat emas dan gangsa acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane pada Ahad.
FOTO: FB AZIZULHASNI AWANG
Azizulhasni (tengah) dan Shah Firdaus (kanan) masing-masing meraih pingat emas dan gangsa acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane pada Ahad. FOTO: FB AZIZULHASNI AWANG
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang membuktikan kehebatannya apabila mengakhiri musim 2020 dengan penuh bergaya apabila meraih pingat emas acara keirin lelaki dalam Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Australia pada Ahad.

Lebih membanggakan negara apabila rakan seperjuangan Muhammad Shah Firdaus Sahrom merangkul pingat gangsa, manakala pelumba Australia Matthew Glaetzer memenangi perak dalam acara yang berlangsung di Anna Meares Velodrome.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam hantaran di Facebook rasminya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pelumba atas kayuhan menakjubkan itu walaupun setelah 'berehat panjang' dan menyifatkan kejayaan membanggakan itu merupakan berita gembira kepada peminat.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua atlet negara ini. Walaupun setelah agak lama tidak beraksi di kejohanan berbasikal pada Ahad sekali lagi Azizulhasni muncul sebagai juara di kejohanan peringkat antarabangsa. Satu lagi kejayaan yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin kejayaan seperti ini bakal menjadi pembakar semangat kepada seluruh atlet negara untuk terus berusaha meningkatkan prestasi dan menyertai kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut laman Facebook rasmi Malaysia Track Cycling, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ bersama Muhammad Shah Firdaus turut mengambil bahagian dalam acara pecut lelaki dan masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima.

Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai tahun depan merupakan dua wakil negara yang bertanding dalam kejohanan tiga hari itu yang bermula 18 Disember.

Kedua-dua mereka adalah antara anggota skuad elit kebangsaan yang kini berpangkalan di Melbourne, Australia.

Artikel Berkaitan:

Februari lepas, Mohd Azizulhasni meraih pingat gangsa acara keirin lelaki dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin, Jerman. - Bernama