Perkukuh PH, tingkat kerjasama dalam kalangan pembangkang

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang seperti mana yang dipraktikkan semasa Belanjawan 2021 yang lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, pada sesi Parlimen yang lalu, Ketua Pembangkang menjemput semua wakil parti pembangkang untuk duduk bersama bagi membincangkan strategi menghadapi Belanjawan 2021.

Menurutnya, sejak PKR ditubuhkan pada 1999 dan menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga 2018, parti itu sentiasa mendokong prinsip kerjasama, persefahaman dan gabungan politik melalui Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat serta kini PH.

“Selama tempoh itu, kerjasama, persefahaman dan gabungan politik ini berpegang kepada prinsip mendokong agenda Reformasi, menolak rasuah, kronisme serta kebobrokan yang berlaku dalam negara,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, keputusan tersebut dibuat ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bulanan pada Ahad yang membincangkan beberapa isu dasar berhubung masalah rakyat, tatakelola serta keadaan politik semasa.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan juga mengarahkan pimpinan untuk meneliti isu rakyat khususnya pengangguran yang masih tinggi, kenaikan harga barang dan ekonomi yang suram ketika Covid-19 melanda negara.

Ujar beliau, mesyuarat itu memutuskan untuk mengupayakan wanita dalam bidang politik dengan keutamaan minima 30 peratus anggota wanita PKR dalam penetapan calon dan lantikan politik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti itu.

“PKR akan sentiasa menilai perkembangan politik semasa secara bersama, dan akan meneruskan segala persiapan jentera dan perbincangan berkait PRU ke-15 berpandukan penilaian tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan: