KKM nasihat mangsa banjir di PPS patuh SOP

Mangsa banjir perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari masa ke masa.
Mangsa banjir perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari masa ke masa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) agar sentiasa menjaga kesihatan kendiri, mengamalkan penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam situasi negara masih dilanda pandemik Covid-19, keadaan sesak seperti di PPS boleh meningkatkan risiko bagi penularan penyakit.

“Sehubungan itu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu oleh semua mangsa banjir di PPS perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua agensi yang terlibat.

“Selain itu, mangsa banjir juga perlu memaklumkan kepada anggota kesihatan jika bergejala dan patuh kepada lain-lain arahan yang diberikan oleh pihak kerajaan dari masa ke masa,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, Klinik Kesihatan (KK) Rantau Panjang, Kelantan turut terjejas akibat banjir dan perkhidmatan berkaitan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi.

Beliau berkata, sebanyak 49 pasukan petugas perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) digerakkan ke PPS yang dibuka bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rawatan.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit dijalankan secara berterusan. Hasil pemantauan yang dijalankan sehingga kini mendapati tiada kejadian wabak penyakit berjangkit berlaku di PPS,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga lagi kluster baharu dikenal pasti pada Ahad, masing-masing di Kuala Lumpur, Sabah dan Johor.

Artikel Berkaitan:

Kluster pertama dikenali Kluster Tapak Bina Metropolis melibatkan daerah Kepong dengan kes dilaporkan positif Covid-19 bermula 14 Disember melalui saringan tempat kerja di sebuah tapak binaan dan sehingga kini 147 kes dikesan positif.

Di Sabah pula dikenali sebagai Kluster Estate Maju melibatkan daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Tuaran dengan kes indeks dilaporkan positif pada 8 Disember melalui saringan individu bergejala dan sehingga kini 28 kes dikesan positif Covid-19.

Kluster ketiga pula dinamakan Kluster Batu 39 melibatkan daerah Pontian, Johor, dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 18 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja dan sehingga hari ini 28 kes dikesan positif. - Bernama