Mangsa banjir di Kelantan bertambah, tiga sungai di paras bahaya

Salah sebuah laluan masuk ke Pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui kenderaan walaupun dinaiki air sejak Sabtu.
Salah sebuah laluan masuk ke Pekan Rantau Panjang masih boleh dilalui kenderaan walaupun dinaiki air sejak Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan semakin meningkat ke 1,297 orang dan ditempatkan di 24 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga jajahan utama di negeri ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga jam 6 petang pada Ahad, sebanyak 406 keluarga dipindahkan di Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah pemindahan paling tinggi iaitu seramai 1,001 mangsa daripada 379 keluarga yang ditempatkan di 14 buah PPS di sini.

Jajahan Kuala Krai pula melibatkan 143 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS, manakala untuk jajahan Tanah Merah pula melibatkan 153 mangsa daripada 43 keluarga, juga ditempatkan di lima PPS di jajahan itu.

Sementara itu, tiga sungai utama di negeri ini sudah melepasi paras bahaya manakala lima sungai di paras jaga-jaga dan empat lagi masih di paras normal.

Tiga sungai utama tersebut ialah Sungai Lebir di Tualang iaitu 36.87 meter melebihi paras bahaya 35.00 meter, Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.03 meter melebihi paras bahaya 25.00 meter dan Sungai Golok di Rantau Panjang 10.42 meter (bahaya 9.00 meter).

Lima sungai yang berada di paras jaga-jaga ialah Sungai Galas di Limau Kasturi mencatatkan 57.96 meter (jaga-jaga 56.00 meter), Sungai Kelantan di Kusial pula 15.93 meter (jaga-jaga 12.00 meter) dan Sungai Golok di Jenob 23.19 (jaga-jaga 21.50 meter).

Dua sungai lain ialah Sungai Kelantan di Jeti Kastam iaitu 3.80 meter (jaga-jaga 3.00 meter) dan Sungai Golok di Kuala Jambu ialah 2.43 meter melebihi paras jaga-jaga 2.00 meter.

Artikel Berkaitan:

Empat sungai lain masih berada di paras normal iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh mencatatkan bacaan 62.96 meter, Sungai Kelantan di Air Mulih 5.91 meter, Empangan Bukit Kwong 16.65 meter dan Sungai Semerak di Pasir Puteh 1.01 meter.

Orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama kepada agensi keselamatan yang bertugas terutamanya sewaktu operasi pemindahan dilakukan.

Penduduk yang berada di PPS juga dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan pihak berwajib.