X

Kindly register in order to view this article
!

Individu pimpin PH perlu komited agenda pemulihan institusi

Mujahid Yusof
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang memimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai komitmen tidak berbelah bagi kepada agenda besar iaitu pemulihan secara institusi (instituitional reform).

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memimpin agenda besar itu dan tetap istiqamah mempertahankan prinsip bersama Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

"Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan PH, ramai daripada parti beliau sendiri (ketika itu) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal memahami agenda besar ini dan hasilnya adalah pembelotan.

"Pembelotan mereka adalah kepada agenda besar dan kepada erti kesetiaan yang dikhianati. Mereka yang memilih untuk khianat bukan kita yang menghalau mereka," tegasnya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Anwar kembali memimpin dan terbukti kesetiaan Presiden Amanah dan Setiausaha Agung DAP telah mengukuhkan semangat agenda besar yang dibina sejak 1998 lagi.

"Pada saat agenda besar ini diuji, kekuatan kesetiaan dalam kalangan pemimpin besar kita adalah segala-galanya yang diperlukan oleh kita.

"Biarlah hendaknya jikalau nak berkawan dengan sesiapa pun dirunding dan dirujuk sesama kita dulu. Bukan kerana cemburu tetapi kerana nak menguji apakah mereka bersama kita dalam agenda besar yang pernah disabotaj oleh kawan sendiri semasa kita menjadi kerajaan dahulu," katanya.

Jelasnya, sekarang bukan masanya untuk memberikan tekanan sebaliknya menyokong, membantu berganding bahu sehingga keputusan bersama sampai di penghujungnya.

"Saya yakin kita bersama kepimpinan Anwar di dalam keluarga besar ini bukan kerana namanya Anwar Ibrahim tetapi kita bersama kerana agenda besar yang beliau pertahankan, dipenjara kerananya dan menderita kerana beriltizam dengannya.

"Amanah lebih selesa dan yakin bahawa dasar Rahmatan Lil Alamin yang diusahakan seiring dengan agenda reform atau islah yang telah diinstitusikan perjuangannya sejak sekian lama. Ahli setiap parti harus jelas perjalanan ini dan tak perlu tergesa-gesa menekan kepimpinan parti masing-masing dengan meletakkan tarikh dan usaha tertentu sebagai tanda kegagalan," katanya.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, sejak awal lagi perjuangan Amanah bukan tentang wala' kepada individu sebaliknya kesetiaan adalah kepada gagasan, idea dan komitmen perjuangan.

"Saya yakin semua pimpinan tertinggi Amanah meyakini bahawa pemimpin boleh datang dan pergi tetapi prinsip perjuangan akan kekal dipertahankan.

"Kebersamaan Amanah dalam kesepakatan politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP adalah untuk mempertahankan agenda reform dan islah walaupun dalam banyak keadaan ia 'merugikan' Amanah daripada sudut sentimen dan emosi awam.

"Amanah kekal menolak isu perkauman sempit dan jalur agama yang kasar dan keras dengan menegaskan prinsip Rahmatan Lil Alamin sebagai 'uncompromising principle' (prinsip yang tidak boleh dikompromi) yang diimaninya.

"Semasa menjadi kerajaan bermandatkan rakyat, dasar ini berjaya dibawa sebagai dasar pentadbiran Islam yang diluluskan oleh Majlis Raja-Raja dan diperakui oleh Kabinet pada 25 Oktober tahun lalu. Ramai pihak mempolitikkan hasrat ini dengan fitnah dan tohmahan terhadap usaha murni ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!