Akar umbi PKR mahu Nurul Izzah kembali aktif

Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah
Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui bahawa akar umbi parti tersebut tidak sabar untuk melihat Nurul Izzah Anwar kembali aktif dalam politik negara.

Katanya, beliau menerima banyak permintaan daripada orang ramai termasuk ahli parti yang meminta supaya bekas Naib Presiden PKR itu untuk tampil dan memainkan peranan yang lebih penting dalam gerak kerja parti tersebut.

Menurutnya, tekanan yang menyeru kepada pengaturan kepimpinan muda dalam PKR semakin kuat susulan kegagalan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini untuk mengalahkan Belanjawan 2021 di Parlimen.

“Saya secara peribadi mendapat banyak permintaan daripada orang ramai dan ahli parti mengenai perlunya Nurul Izzah muncul semula dan tampil ke hadapan dan memainkan peranan penting dalam parti berbanding dengan peranannya sekarang,” katanya seperti yang dilaporkan portal The Vibes pada Ahad.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, keputusan berhubung kembalinya Nurul Izzah ke dalam politik negara terletak di tangan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sendiri.

“Saya menyerahkan kepada kebijaksanaannya untuk memutuskan jalannya untuk kembali ke arus perdana politik. Saya tidak melihat Nurul Izzah cuba lari atau menjauhkan diri. Dia terlibat secara aktif dalam kawasannya dan parti,” katanya.

Pada Disember 2018, Nurul Izzah yang juga anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan jawatan sebagai naib presiden parti dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah turut mengundurkan diri sebagai sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2019 akibat daripada perselisihan dengan kepimpinan kerajaan PH sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Saifuddin memaklumkan, beliau kini sedang mengadakan pertemuan mingguan bersama Nurul Izzah mengenai persediaan parti untuk pilihan raya akan datang

Turut terlibat dalam pertemuan tersebut ialah bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mempunyai kepakaran dalam bidang analisis data.

“Apa yang membuat PKR berbeza daripada parti lain adalah kita selalu bersiap siaga untuk pilihan raya berdasarkan pangkalan data (sedia ada),” katanya.

“Kami selalu berpandukan kepada pangkalan data yang disesuaikan dengan tinjauan atau tinjauan pendapat yang jelas. Nurul Izzah dan Rafizi bekerja rapat untuk membantu parti dalam aspek tersebut,” katanya.