X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan kes rasuah RM2 juta Ku Nan diketahui esok

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mengetahui nasibnya esok, sama ada disabitkan atau dilepaskan daripada pertuduhan rasuah RM2 juta.

Keputusan kes itu secara kebetulan sehari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-70 hari ini dan bagaimana beliau akan menjalani kehidupan pada usia tujuh puluhan akan diketahui esok.

Semua akan tertumpu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana hakim, Mohamed Zaini Mazlan dijangka memberikan penghakimannya bagi kes itu pada jam 9 pagi.

Mohamed Zaini pada awalnya menetapkan 17 November untuk keputusan tetapi ditangguhkan setelah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain kes Tengku Adnan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan kerana dua kes rasuah berprofil tinggi lain - satu melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, 60, dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 60, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah serta isterinya, Datin Seri Zizie A Samad, 41, juga akan disebut di Mahkamah Sesyen yang berasingan di sini esok.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi dan prosiding pembelaannya berlangsung selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac lepas.

Dalam keterangannya, Tengku Adnan mengakui menerima cek RM2 juta daripada Kin Kong pada 14 Jun 2016 untuk perbelanjaan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar (Selangor) dan Kuala Kangsar (Perak) pada 18 Jun tahun yang sama.

PRK itu diadakan selepas dua Ahli Parlimen UMNO, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016.

Bekas menteri itu juga memberitahu mahkamah bahawa RM2 juta yang diberi Kin Kong hanyalah seperti "duit poket”.

Saksi lain yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, Datuk Rizalman Mokhtar.

Pada 30 Jun lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi memberi keterangan dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari bermula 4 Mac dengan Tengku Adnan dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama.

Pada 7 Disember lepas, Mahkamah Tinggi yang lain melepas tanpa membebaskan Tengku Adnan atas pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah Tengku Adnan pada 2013 dan ahli perniagaan itu didenda RM1.5 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes terhadap Tengku Adnan setelah terdapat perkembangan baharu berhubung kes itu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!