X

Kindly register in order to view this article
!

Feri Pulau Pinang: Ka Siong, SPPP dan PPSB digesa beri penjelasan

Gambar kecil: LIM GUAN ENG
A
A

GEORGETOWN - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong perlu mengarahkan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) supaya memberhentikan persiapan untuk menamatkan perkhidmatan feri ikonik di negeri ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, PPSB dan SPPP sepatutnya berusaha untuk memudahkan penyambungan segera perkhidmatan feri seperti biasa pada 1 Januari depan.

Menurutnya, sejak Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan penyambungan perkhidmatan feri pada 17 Disember lalu, masih belum ada sebarang maklum balas daripada Ka Siong, SPPP dan PPSB berhubung perkara itu.

"Sejak pengumuman dibuat oleh Tengku Zafrul, tiada maklum balas daripada Ka Siong, SPPP atau PPSB sama ada perkhidmatan feri akan diteruskan seperti yang diarahkan atau sebaliknya.

"Apa yang dikesali, Ka Siong memilih untuk menyebarkan pembohongan bahawa saya telah membuat keputusan untuk menamatkan dan menggantikan perkhidmatan feri dengan katamaran," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Ka Siong adalah palsu yang mana sehingga hari ini, tiada sebarang bukti telah ditunjukkan.

"Kenyataannya jelas palsu kerana beliau tidak dapat menunjukkan bukti berhubung perkara itu. Tengku Zafrul juga telah mengesahkan bahawa saya telah meletakkan syarat secara bertulis ketika saya menjadi Menteri Kewangan agar perkhidmatan feri Pulau Pinang dapat diteruskan sebagai pertukaran dengan pembayaran insentif tunai RM30 juta kepada PPSB.

"Bagaimanapun, Ka Siong dan Pengerusi SPPP, Datuk Seri Tan Teck Cheng memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan feri pada 31 Disember ini tanpa mempedulikan sentimen terhadap nilai sejarah dan warisannya yang unik.

"Teck Cheng juga mengatakan bahawa keputusan untuk memberhentikan feri berusia 126 tahun itu didorong oleh statistik dan ekonomi bukannya emosi atau politik," katanya.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, rakyat Pulau Pinang telah dikhianati oleh politik kotor pemimpin MCA di Kementerian Pengangkutan dan SPPP apabila mengambil keputusan seperti itu.

"Pengumuman mereka dalam cadangan memberhentikan perkhidmatan feri Pulau Pinang secara sendirian tanpa mengambil kira pendapat bukan sahaja 1.7 juta rakyat Pulau Pinang malah seluruh rakyat Malaysia yang menyayangi warisan.

"Teck Cheng memberitahu media bahawa beliau terkejut dengan pusingan-U yang diumumkan oleh Tengku Zafrul untuk meneruskan feri Pulau Pinang, malah mempersoalkan adakah Tengku Zafrul telah membuat keputusan yang betul," katanya.

Katanya, sekiranya Ka Siong dan SPPP memilih untuk menentang arahan Menteri Kewangan dengan berpura-pura bahawa tidak ada perubahan dalam keputusan untuk menamatkan perkhidmatan feri, ia akan mencetuskan pertikaian undang-undang.

"Mampukah Kementerian Pengangkutan mengabaikan syarat untuk meneruskan perkhidmatan feri yang dikenakan oleh Kementerian Kewangan, melalui dana RM30 juta kepada PPSB untuk memudahkan pengambilalihan perkhidmatan feri Pulau Pinang?" katanya.

Semalam, Guan Eng menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya pernah bercadang dan merancang untuk menghentikan perkhidmatan feri ikonik di Pulau Pinang ketika memimpin negara sebelum ini.

Guan Eng berkata, beliau dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu, Anthony Loke tidak pernah bercadang malah tidak pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan menghapuskan perkhidmatan feri.

Katanya, ada pihak cuba memutar belit isu tersebut apabila menuduh beliau bersama Anthony juga pernah bercadang menghapuskan perkhidmatan feri untuk digantikan dengan katamaran.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!