Sang bedal 'sesat' di pantai Tok Bali

APM Pasir Puteh dan penduduk kampung mengusung buaya sepanjang 3.6 meter dan berat 200 kilogram itu diserahkan kepada Perhilitan Kelantan.
APM Pasir Puteh dan penduduk kampung mengusung buaya sepanjang 3.6 meter dan berat 200 kilogram itu diserahkan kepada Perhilitan Kelantan.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seekor buaya tembaga jantan yang dipercayai 'sesat' dalam sebuah lopak air tawar di kawasan pantai Tok Bali di sini berjaya ditangkap oleh penduduk awal pagi tadi.

Buaya sepanjang 3.6 meter dan berat 200 kilogram ditangkap penduduk selepas hidupan liar itu terkena jerat yang dipasang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi.

"Seramai lima anggota dan seorang pegawai ke lokasi untuk kerja-kerja membantu menangkap buaya tersebut bersama penduduk.

"Anggota bersama penduduk mengambil masa selama dua jam untuk menangkap reptilia itu," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Seekor buaya tembaga jantan yang dipercayai 'sesat' dalam sebuah lopak air tawar di kawasan pantai Tok Bali di Pasir Puteh berjaya ditangkap oleh penduduk awal pagi tadi.
Seekor buaya tembaga jantan yang dipercayai 'sesat' dalam sebuah lopak air tawar di kawasan pantai Tok Bali di Pasir Puteh berjaya ditangkap oleh penduduk awal pagi tadi.

Menurutnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.15 pagi dan buaya tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

"Ini merupakan kali pertama penduduk kampung menangkap buaya di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Fauzan Ismail, 41, berkata, kehadiran sang bedal itu disedari oleh penduduk semalam selepas membuat pemantauan sepanjang hari di lokasi tersebut.

Menurutnya, bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang sering mandi-manda di kawasan tersebut beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Selain buat aduan kepada pihak berkuasa, kami juga memasang jerat untuk menangkap buaya itu.

"Alhamdulillah, selepas beberapa jam buaya ini berjaya ditangkap pada awal pagi," katanya.