X

Kindly register in order to view this article
!

Bersahabat dengan anak-anak, tangani isu LGBT

Hushim
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa perlu 'bersahabat' dan rapat dengan anak-anak serta bersikap ambil tahu akan segala aktiviti anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Pakar Motivasi yang juga Kaunselor berdaftar, CR Hushim Salleh berkata, ibu bapa perlu tahu setiap apa yang dilalui dan dialami di peringkat awal kanak-kanak, peringkat kanak-kanak dan peringkat awal remaja.

"Peringkat ini sangat penting kerana berdasarkan pengalaman saya sebagai kaunselor, peringkat itulah yang melatari bagaimana seorang lelaki menjadi wanita dan wanita menjadi lelaki," katanya selaku panelis pada program Wacana al-Quran bertajuk LGBT: Selamatkah anak kita? Surah al-Nisa: 119 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Mohd Izwan Md Yusof.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan surah al-Nisa ayat 119.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Hushim Motivational and Counselling Consultancy berkata, ibu bapa juga disarankan agar mencari ilmu mengenai isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) supaya dapat menghindarkan diri anak-anak daripada terjerumus ke dalam kelompok itu.

Dari kiri Fazrul, Hushim, Mohd Izwan dan Abdul Khair pada program Wacana al-Quran bertajuk LGBT: Selamatkah anak kita? Surah al-Nisa: 119 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dari kiri Fazrul, Hushim, Mohd Izwan dan Abdul Khair pada program Wacana al-Quran bertajuk LGBT: Selamatkah anak kita? Surah al-Nisa: 119 yang diadakan di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Katanya, pendedahan dalam kalangan ibu bapa itu penting kerana mereka adalah individu yang paling dekat dengan anak- anak.

Hushim berkata, sebagai langkah pencegahan dan untuk mengelakkan anak-anak terlibat dengan isu LGBT, ibu bapa perlu memberi pendedahan kepada anak-anak berkenaan teknik untuk mengatakan tidak kepada sebarang ajakan yang mendorong ke arah itu.

"Contohnya ibu bapa kena beritahu dan ajar anak tidak kiralah anak itu lelaki atau perempuan, kalau ada senior datang malam-malam duduk tepi katil dan suruh pegang-pegang, bagi tahu anak jangan biarkan dan katakan tidak.

"Ini tidak, ada segelintir ibu bapa apabila anaknya masuk ke asrama sibuk berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh, itu dan ini sehingga terlupa sesuatu yang sangat penting.

"Kena beritahu anak sebab itu adalah perangkap dan ramai pelajar junior yang terlibat. Kalau sudah terjebak baru nak cegah amatlah susah dan perlu ingat proses pemulihan itu tidak mudah," katanya yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam bidang kaunseling.

Beliau berkata, bukan semudah itu untuk membantu golongan ini.

"Ada yang datang secara sukarela dan prosesnya berlangsung dengan mudah, ada yang dirujuk dan dibawa oleh keluarga dan ia agak sukar kerana individu sebegini mempunyai hujah tersendiri selain mengambil tempoh yang agak lama.

"Namun faktor yang paling penting ialah sokongan daripada keluarga dan pasangan kerana dengan sokongan inilah yang menguatkan lagi azam mereka untuk berubah kepada fitrah," katanya.

Katanya, golongan LGBT yang mahu kembali ke jalan benar tidak perlu bersikap takut atau ragu-ragu untuk dibimbing.

"Pesanan saya kepada mereka yang terlibat dan mencari jalan 'pulang' supaya jangan takut-takut untuk mendapat bimbingan kaunseling.

"Kepada masyarakat di luar sana usah mengenepikan mereka dan bantulah bawa mereka balik ke pangkal jalan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!