MAFI sasar tingkat jumlah petani muda

Ahmad (dua dari kiri) mendengar taklimat ringkas daripada pengusaha tanaman nanas MD2, Looh Chee Wee di Batu 13, Jalan Lipis-Benta pada Sabtu.
Ahmad (dua dari kiri) mendengar taklimat ringkas daripada pengusaha tanaman nanas MD2, Looh Chee Wee di Batu 13, Jalan Lipis-Benta pada Sabtu.
A
A
A

LIPIS - Bilangan petani muda di negara ini hanya kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan yang terlibat dalam sektor pertanian.

Justeru, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan lebih ramai golongan itu menyertai sektor pertanian melalui Program Agropreneur Muda.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kementerian menyasarkan 1,000 permohonan di bawah program itu.

“Bagaimanapun, bilangan permohonan melebihi sasaran iaitu 1,152 bagi mendapatkan bantuan yang disediakan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Projek Tanaman Nanas MD2 di Batu 13, Jalan Lipis-Benta di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perasmian Program Jelajah Agropreneur Muda Peringkat Negeri Pahang di Sungai Koyan di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Ahmad berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM1.49 juta geran agroprenuer yang memberi manfaat kepada seramai 77 penerima sempena Program Jelajah Agropreneur Muda Peringkat Negeri Pahang.

“Geran ini bukan berbentuk kewangan tetapi barangan dan input pertanian bagi membantu agroprenuer muda mengembangkan pertanian,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, permohonan bagi program itu masih dibuka tahun ini untuk golongan muda yang berminat dalam sektor pertanian termasuk penternakan dan perikanan.

“Bagi permohonan yang layak, mereka mendapat bantuan geran sehingga RM20,000 atau memohon melalui Tekun Nasional dan Agrobank,” katanya.