Bot tunda masuk NBCT kerana kru sakit

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Bot tunda yang membawa tiga kru warga Iran yang masuk dan merapat di Dermaga N1 Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) pada 11 Disember lalu didapati bertujuan untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB), bot tunda yang didaftarkan di Tanzania atas nama 'FIRE MAN' itu masuk ke NBCT kerana dua orang kru bot terbabit sakit.

Menurutnya, bot tunda berkenaan yang tidak melantik sebarang ejen di Malaysia itu dipercayai telah memulakan perjalanan dari Jepun untuk ke United Arab Emirates (UAE).

"Oleh kerana ketiadaan ejen, bot tunda berkenaan telah gagal melaporkan kemasukan bot tunda tersebut ke kawasan Had Pelabuhan Pulau Pinang kepada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara dan SPPP.

ARTIKEL BERKAITAN: Kapal tunda dari Iran masuk ke terminal Butterworth kerana kecemasan

"Bagaimanapun, Port Health dan Pasukan Polis Marin telah ke lokasi bot dan melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua kru yang sakit sebelum dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan," katanya.

SPPP berkata, seorang kru telah dibenarkan keluar pada hari yang sama (11 Disember), manakala seorang lagi ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan lanjut sehingga 15 Disember lalu.

"Polis, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Utara telah hadir ke NBCT untuk menjalankan siasatan berhubung perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan perintah Not To Land (NTL) telah dikeluarkan kepada ketiga-tiga kru berkenaan oleh Imigresen, ketiga-tiga kru berkenaan telah ditempatkan di atas bot tunda tersebut dengan kawalan keselamatan diadakan oleh pihak PPSB," katanya.

Menurutnya, bot tunda berkenaan bersama tiga kru tersebut dipindahkan ke Dermaga Perai dari NBCT yang mematuhi International Ship and Port Security (ISPS) Code setelah mendapat arahan daripada Jabatan Laut Malaysia pada Jumaat lalu.

"Sehingga kini, agensi-agensi penguatkuasaan terbabit masih menjalankan siasatan mengenai perkara ini. Memandangkan bot FIRE MAN ini adalah kapal tunda dan bukannya kapal kargo, maka ia tidak tertakluk kepada ISPS Code yang mana, peraturan ini tidak terpakai.

"Bagi kapal yang tertakluk kepada ISPS, kapal-kapal tersebut perlu melaporkan kepada SPPP ke Had Pelabuhan Pulau Pinang sekurang-kurangnya dalam tempoh 48 jam sebelum ketibaan," katanya.

SPPP berkata, kapal dan bot yang tidak tertakluk kepada ISPS Code masih boleh memasuki Had Pelabuhan Pulau Pinang, namun kapten atau ejen perlu segera melaporkan ketibaan mereka kepada Pejabat Jabatan Laut Wilayah Utara, Imigresen dan Port Health.

"Amalan ini adalah sepertimana diamalkan bagi kapal layar (yachts) khususnya di marina persendirian di Straits Quay.

"SPPP tidak bertanggungjawab untuk mengesan atau memantau pergerakan sesuatu kapal mahupun bot di luar Had Pelabuhan Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, SPPP menerima laporan daripada Pihak Operator Pelabuhan Berlesen, PPSB mengenai sebuah bot tunda tidak dikenali membawa tiga kru warga Iran masuk dan merapat di Dermaga N1 tanpa kebenaran pada jam 9.45 pagi, Jumaat minggu lalu.