Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat hari ini dengan 1,006 penduduk telah dipindahkan ke 25 PPS sehingga 9 pagi ini di empat jajahan terlibat.
Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat hari ini dengan 1,006 penduduk telah dipindahkan ke 25 PPS sehingga 9 pagi ini di empat jajahan terlibat.
A
A
A

KOTA BHARU - Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat hari ini dengan 1,006 penduduk telah dipindahkan ke 25 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 9 pagi ini di empat jajahan terlibat.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat jumlah itu membabitkan 304 (lelaki dewasa), 321 (perempuan dewasa), 182 (kanak-kanak lelaki), 161 (kanak-kanak perempuan), 36 (bayi), 38 (warga emas) dan lima orang kurang upaya (OKU) telah ditempatkan di PPS.

Menurut portal sama, Pasir Mas merupakan jajahan paling ramai mangsa banjir yang dipindahkan, diikuti Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang, berikutan hujan lebat sejak Rabu lalu melanda negeri ini

Mangsa banjir di Pasir Mas bertambah kepada 636 orang pagi ini berbanding 504 pada jam 8 malam tadi dan kesemua 223 keluarga terbabit ditempatkan di 10 PPS manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual mencatatkan perpindahan teramai dengan melibatkan 167 orang daripada 55 keluarga.

Keadaan limpahan air Sungai Golok yang memasuki kawasan sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.
Keadaan limpahan air Sungai Golok yang memasuki kawasan sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Kuala Krai pula menyaksikan satu lagi PPS diaktifkan iaitu di SK Manek Urai Lama berbanding lapan semalam berikutan jumlah pertambahan mangsa banjir daripada 226 kepada 229 orang yang membabitkan 57 keluarga.

Sementara itu di Tanah Merah, seramai 161 mangsa membabitkan 42 keluarga telah dipindahkan ke enam PPS manakala jumlah mangsa banjir di Gua Musang masih kekal dengan 13 orang daripada dua keluarga dengan satu PPS dibuka sejak semalam.

Dalam perkembangan sama, paras air di dua sungai di negeri ini masih melepasi paras bahaya iaitu di Sungai Kelantan (25.14 meter) di Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.45 meter) manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula melepasi paras berjaga-jaga dengan pada bacaan 2.38 meter berbanding paras normal pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: