Kuasa khalayak penentu sastera

No Image Caption
A
A
A

KHALAYAK adalah komponen penting dalam pembinaan sesebuah tradisi sastera. Kedudukannya adalah selepas komponen pengarang dan teks. Pengarang ialah orang yang menghasilkan teks. Teks pula adalah hasil produksi yang akan jatuh ke tangan khalayak.

Sebelum popular dengan nama khalayak, ia terkenal dengan panggilan pembaca dan penonton untuk seni persembahan drama.

Kedua-dua perkataan itu, lazim dipakai pada zaman moden. Apabila memasuki zaman pascamoden, mula digunakan istilah khalayak yang juga merangkumi golongan aktivis, pelibat, pengikut dan peminat sastera.

Khalayak mempunyai kuasa terhadap sesebuah teks. Karya hanya akan bermakna dan hidup, apabila mendapat apresiasi yang positif. Sebaliknya, sesebuah karya itu akan hancur, seandainya ia gagal menawan cita rasa khalayak.

Nyatalah kuasa penentu kedudukan sesebuah karya itu, dipegang oleh khalayak. Mereka menjadi raja yang boleh menghukum kedudukan dan pencapaian karya sastera. Tanpa khalayak, sastera tidak bererti apa-apa. Sebuah pementasan drama, gersang daripada khalayak akan gagal. Novel yang tidak menyentuh hati dan perasaan, akan terbiar dan kecundang.

Memperbanyak bilangan khalayak dengan mempertajam indera penghayatan, adalah tugas besar dalam mendaulatkan kedudukan sastera.

Seandainya bilangannya berkurangan menandakan hayat sastera akan kelemasan. Apatah lagi pada zaman global ini, khalayak sastera berpindah ke dunia maya, mencari sesuatu yang lebih kondusif dengan zamannya.

Pemandangan khalayak terpekun dengan pembacaan walau di mana berada, sama ada pada waktu istirahat atau dalam perjalanan, kini semakin pudar.

Artikel Berkaitan:

Maya menggoda dan menguasai mereka. Maya lebih mengasyikkan dan memenuhi keperluan berbanding buku. Berlakulah lambakan karya di pasaran, bagai sayuran yang kekeringan.

Kajian telah dilakukan yang dapatannya menunjukkan bahawa rajah peminatan khalayak terhadap sastera secara global, telah menurun dan mengancam hayat sastera.

Teori sastera resepsi yang menjadi induk kepada komponen khalayak, membahagikannya kepada dua jenis iaitu ‘khalayak biasa’ dan ‘khalayak ideal’.

Masyarakat popular, yang membaca karya sastera untuk hiburan atau mengisi masa lapang, sebagai khalayak biasa. Khalayak ideal ialah yang berpengetahuan dan mempunyai latar sastera, golongan elit seperti guru, pensyarah, pengkaji dan pengkritik sastera.

Dalam teori respons pembaca, khalayaklah yang diberi tanggungjawab terhadap pemberian makna karya. Sama ada karya itu bersifat monomakna, polisemi atau polimakna, khalayaklah yang menentukannya. Lebih-lebih lagi pengkritik, yang akan menetapkan makna, signifikan dan pencapaiannya.

Perbezaan kedudukan dan kerjaya, juga akan menentukan fungsionlisasi khalayak.

Seorang pembaca biasa lebih kepada cerita, seorang pemikir untuk mencari unsur-unsur intelektualisme, ahli politik untuk mencari dasar ideologi kekuasaan, dan seorang pelajar pula mencari segala macam data dan maklumat, untuk keperluan penulisan akademiknya.

Pragmatik

Golongan elit biasanya meletakkan fungsi bacaannya pada sifat pragmatik teks. Kesan pembacaan yang memberinya pengalaman baharu dan memenuhi tuntutan tekstual dan kontekstual meletakkannya sebagai karya berjaya.

Teori bacaan fenomenologi berpandangan kehidupan dimeriahkan oleh pelbagai gejala, daya tarikannya mencari fenomena teks bagi menjawab segala kesukaran dan permasalahan.

Sebab itu golongan ini cuba memasuki akar karya untuk memahami penggejalaan yang menjadi roh teks.

Teori bacaan idealistik pula menggarap lapisan makna dengan menggali timbunan sejarah dan menghidu susur-galur hipogram untuk sampai kepada pengertian asli pengarang.

Khalayak dibekalkan oleh konsep collective unconsciousness dan primordial images, iaitu mempunyai kesedaran bawah sedar dan imej-imej mitologi secara bersama, seperti yang terkandung dalam prinsip teori arketaipal Carl Young.

Secara naluriah, keinginan khalayak adalah sama dan memiliki penilaian yang sama, yang terbentuk dalam sanubari sejak zaman berzaman.

Kebersamaan inilah yang perlu difahami oleh pengarang sewaktu berkarya, supaya teks sejajar dan meraikan kebersamaan perasaan dan pemikiran khalayak.

Kebersamaan itulah juga, yang membentuk gelombang penerimaan, yang sentiasa berubah dan tidak pernah statik.

Karya Keris Mas yang menduduki takhta keunggulan pada zaman Asas 50, tidak semestinya dikagumi pada zaman pascamoden ini. Putera Gunung Tahan karya Pak Sako, yang kurang diberi perhatian sebelum merdeka, mendapat martabat istimewa pada zaman pascakolonialisme ini.

Begitulah puisi zaman romantisisme yang mendayu-dayu itu, kehilangan kekuasaannya pada zaman realisme.

Aliran avant-garde, yang suka kembali kepada sejarah, dengan mempersoal politik masa silam, bahawa kesilapan telah terjadi pada masa lalu, dan kesilapan yang sama masih diwarisi hingga kini; sudah diganti oleh karya realisme magis dan metafiksyen.

Secara akronis, mitologi gelombang penerimaan dilakar oleh khalayak.

Sesuatu yang sangat dikhuatiri ialah gelombang penerimaan itu, terlalu tunduk kepada selera khalayak.

Masyarakat poplis sering ditarik oleh seni murahan, picisan dan yang menggoda, bagi memenuhi keinginan-keinginan libido mereka, yang akhirnya menurunkan darjat esktetika.

Awal abad moden di Jerman, diserang oleh penyakit tunduk kepada selera khalayak, menyebabkan sasteranya jatuh dalam kalangan negara-negara Eropah.

Mujurlah para pemikir sasteranya, seperti Hans Robert Jauss dan Isser Wolfgang, berusaha mengubatinya dengan menciptakan teori resepsi dan teori respons khalayak.

Sebagai gudang pengetahuan Jerman, kedua-dua teori itu bersetuju, bahawa khalayak memiliki konsep horizon of expectation atau ‘horizon harapan khalayak’, sebuah keinginan atau cita-cita yang perlu diisi oleh sesebuah karya sastera.

Khalayak mendirikan rumah-rumah harapan dan menyimpan pelbagai ramalan terhadap karya yang sedang dibaca.

Setiap kali mereka membaca, horizon itu akan bergerak secara naluriah dalam sepanjang bacaannya. Mindanya menjadi aktif dan dinamik; sebaliknya akal bacaannya akan tumpul dan tidak meneruskan bacaan, kerana kegagalan karya memenuhi harapannya.

Khalayak pada zaman pandemik Covid-19, yang telah mengubah gaya hidup, terkurung di rumah dan memberi tekanan maha hebat, sepatutnya digunakan dengan sebaiknya dengan lebih mendekati dan bermesra dengan karya sastera. Aktiviti yang sesuai untuk menghilangkan segala kerisauan, adalah dengan membaca teks-teks sastera.

Begitulah wacana kecil ini, cuba menghurai kuasa dan dasar-dasar teori khalayak. Selain bergantung kepada pengarang dan karya, tamadun sastera terletak pada fungsionalisasi khalayaknya. Sesungguhnya di tangan khalayak kuasa memartabatkan sastera.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia