Sengketa politik masih belum reda

No Image Caption
A
A
A

BELANJAWAN 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat Selasa lalu membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mampu bertahan walaupun memperoleh majoriti tipis.

Rang undang-undang itu diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan seramai 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju dan seorang tidak hadir.

Kata Muhyiddin, kelulusan belanjawan tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan pelbagai polisi pembangunan yang dirancang bagi mengatasi pandemik Covid-19 dan membantu segenap lapisan masyarakat Malaysia.

Sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 bilion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan, manakala baki sebanyak RM17 bilion adalah untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Bagi mencapai matlamat Kesejahteraan Rakyat, kerajaan menggariskan empat strategi iaitu Covid-19 dan Kesihatan Awam, Memelihara Kebajikan Golongan Rentan, Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan dan Mengutamakan Agenda Keterangkuman.

Bagaimanapun, menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, bagi Pakatan Harapan (PH), Belanjawan 2021 didakwa tidak mempunyai satu lonjakan untuk memulih, merangsang dan memajukan ekonomi negara atau penyelesaian terhadap pengangguran, juga membantu golongan pekerja.

“Menjelang tahun 2021, sememangnya tugas getir bakal dipikul oleh kerajaan bagi mengekalkan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat dua tugas berada di depan mata kerajaan, pertama adalah situasi penularan Covid-19 yang masih belum menampakkan pemulihan dalam tempoh terdekat.

“Kedua, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk merancakkan semula ekonomi negara dan mengurangkan kadar pengangguran yang kian meningkat dalam tempoh enam bulan terakhir ini,” kata akhbar tersebut.

Mengulas lebih lanjut, kata akhbar Cina itu, walaupun Belanjawan 2021 telah diluluskan dengan memihak kepada PN, tidak semestinya persengketaan parti-parti politik di Malaysia akan berakhir.

Lebih mendukacitakan, politik di Malaysia menjadi tegang, bukan sahaja melibatkan antara kerajaan dan pembangkang, malah apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah perbalahan berlaku antara parti-parti kerajaan sendiri. Keadaan sama juga berlaku antara parti kompenan PH.

Seperti yang dikatakan Muhyiddin, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir. Namun, dengan mengadakan PRU, apakah mungkin pergolakan politik di Malaysia akan menjadi lebih tenang?

“Kerajaan tidak mahu PRU diadakan ketika pandemik Covid-19 masih menular. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat pilih kerajaan yang mereka mahu," kata Muhyiddin sebelum ini.

Namun, ulas akhbar itu, kemelut yang berlaku ketika ini barangkali masih tidak mampu terungkai.

“Apakah akan berlaku jika keputusan PRU nanti, kedudukan antara kerajaan dan pembangkang masih dibezakan dengan majoriti kecil?

“Jika ini berlaku, trend lompat parti oleh wakil-wakil rakyat yang mempunyai kepentingan peribadi pastinya tidak dapat dielakkan.

“Masa depan negara sudah tentu tidak akan terjamin, malah mencetuskan rasa benci oleh rakyat angkara ahli-ahli politik yang mengejar pangkat dan kuasa,” kata akhbar itu.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian