Apa relevansi Universiti Al-Quran?

A
A
A

TIDAK masuk akal ketika banyak universiti tempatan berhadapan pemotongan belanjawan, maka kita mahu menambah jumlah universiti.

Isu ini mungkin agak kontroversi, namun saya fikir cadangan menaik taraf Darul Quran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Universiti Al-Quran (UAQ) perlu diteliti semula.

Dalam menubuhkan sesebuah universiti awam, kita perlu memahami dua senario utama iaitu apakah peranan universiti dan apakah kemampuan kewangan kerajaan.

Pertama, universiti atau institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi satu tempat pengumpulan kepakaran pelbagai bidang sains, sains sosial, teknologi, teologi dan lain-lain bidang ilmu.

Universiti berbeza dengan kolej kerana ia lebih besar, mempunyai kurikulum yang lebih luas dan menawarkan ijazah profesional, sarjana serta kedoktoran.

Penubuhan UAQ dikatakan bertujuan melahirkan graduan yang bukan setakat mempunyai kepakaran menghafal al-Quran tetapi juga lengkap dengan kepakaran dalam bidang profesional yang lain.

Pada hemat saya, menubuhkan universiti hanya semata-mata untuk melahirkan hufaz yang turut mempunyai ilmu pengajian lain sangat tidak selari dengan ciri-ciri universiti.

Hafalan al-Quran adalah sebahagian kemahiran yang boleh diperoleh tanpa perlu melalui universiti kerana ilmu hafalan adalah statik. Jangan salah faham. Penulis tidak memperlekehkan usaha menghafal al-Quran. Ia sangat dituntut agama, namun ia tidak memerlukan sebuah universiti.

Artikel Berkaitan:

Usaha melahirkan hufaz harus dilakukan pada peringkat sekolah dan kolej kemahiran. Perkasakan sekolah-sekolah agama sedia ada jika keperluan masa kini tidak mencukupi.

UAQ juga bukan idea baharu. Idea itu telah dipraktiskan dalam tiga penubuhan universiti sebelum ini iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Unisza dinaiktaraf daripada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), USIM pula berasal daripada Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) yang ditubuhkan bagi membolehkan lebih ramai lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) meneruskan pengajian peringkat pengajian tinggi.

Jadi, apa keperluan mewujudkan sebuah lagi universiti yang juga berunsurkan agama Islam? Sebahagian universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah pun mempunyai tradisi pengajian Islam yang sangat hebat dan mantap.

Bukankah lebih baik peruntukan untuk UAQ diberikan kepada fakulti-fakulti pengajian Islam sedia ada bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan membolehkan lebih banyak penyelidikan dilakukan?

Kedua, kita harus sedar menaik taraf sesebuah kolej kepada universiti akan menambah beban perbelanjaan pengurusan kerajaan. Tidak masuk akal ketika banyak universiti tempatan berhadapan pemotongan belanjawan, maka kita mahu menambah jumlah universiti.

Rata-rata universiti di Malaysia kehilangan tenaga pakar dan pemotongan geran penyelidikan kerana kekangan kewangan. Ada universiti tidak lagi mempunyai geran penyelidikan, jadi mengapa perlu sebuah lagi universiti?

Mereka tidak berusaha meningkatkan kualiti universiti sedia ada tetapi lebih berusaha untuk menambah jumlah fizikal universiti. Kita khuatir pembukaan universiti baharu hanya sekadar agenda membuka peluang pejawatan, gelaran profesor dan pembinaan bangunan baharu. Ia sangat tidak sihat kepada perkembangan kualiti akademik dan kewangan negara.

Cukuplah dengan universiti yang ada. Perkasa dan perhebatkan universiti berkenaan agar mampu membina jenama dan bidang kepakaran tersendiri. Penubuhan universiti harus kerana keperluan keilmuan, bukan untuk mengaut keuntungan politik.

Akhir sekali kita menamakan UAQ. Jika esok ia bermasalah, ada kontroversi, ada skandal, maka nama al-Quran turut terkait.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)