Pekerja kilang maut dihempap kren rosak

Pasukan bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian di sebuah kilang besi hari ini.
Pasukan bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian di sebuah kilang besi hari ini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja kilang warga Myanmar maut selepas dihempap jentera kren yang terbalik di sebuah kilang di kawasan Perai, di sini, hari ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Syamzul Razman Abd Halim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.23 malam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sebuah jentera kren yang sedang menjalankan kerja di kilang besi tersebut telah terbalik lalu menghempap mangsa.

"Ketika pemeriksaan, kita mendapati ada seorang pekerja lelaki tersepit di bawah jentera kren itu. Maklumat awal mengatakan, kren tersebut sedang dikendalikan oleh pekerja lain dalam melakukan kerja memindahkan besi-besi yang telah siap di kilang berkenaan.

"Ia dikatakan mengalami kerosakan sebelum terbalik lalu menghempap mangsa. Kita dimaklumkan, mangsa sedang melakukan kerja di bahagian bawah jentera kren itu ketika kejadian," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambahnya, pihaknya terpaksa menggunakan kren lain untuk mengangkat jentera kren yang terbalik itu bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kita mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mangsa. Mangsa merupakan warga Myanmar, berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.