Kuat kuasa tindakan disiplin kakitangan KKM tak patuh SOP

Gambar kecil: Dr Malina Osman
Gambar kecil: Dr Malina Osman
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu menguatkuasakan tindakan disiplin terhadap kakitangan hospital yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah kejadian jangkitan Covid-19 di kawasan hospital.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, ketidakpatuhan terhadap SOP mungkin menjadi antara faktor berlakunya kejadian sedemikian.

“Cetusan kluster wabak baharu di sesuatu tempat adalah kesan daripada praktis kepatuhan terhadap SOP yang mungkin tidak begitu sempurna sehingga menyebabkan sesuatu tularan terjadi.

“Bagi mengelakkan penularan berlaku dengan mudah, kesemua langkah pencegahan yang disyorkan perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihaknya merekodkan sebanyak 1,771 kes berlaku dalam kalangan petugas terbabit.

Menurutnya, siasatan yang dilakukan mendapati 587 petugas (33.1 peratus) mendapat jangkitan daripada komuniti dan 565 petugas (31.9 peratus) lagi berlaku jangkitan di antara petugas-petugas kesihatan.

Dr Malina berkata, semua pihak khususnya kakitangan kesihatan tidak seharusnya mengambil mudah akan pengamalan SOP yang ditetapkan kerana risiko jangkitan Covid-19 boleh berlaku di mana-mana termasuk di hospital.

“Umum mengetahui, kebiasaannya mereka yang bekerja di tempat yang sama biasanya menjaga disiplin apabila berhadapan dengan pesakit atau pelanggan tetapi suasana berubah apabila mereka berada sesama rakan sejawat di pantri, surau atau semasa rehat.

Artikel Berkaitan:

“Potensi tularan tetap wujud daripada punca interaksi dengan keluarga yang mungkin dibawa ke tempat kerja. Sehubungan itu, dicadangkan tindakan disiplin perlu dikuatkuasakan untuk mengelakkan kakitangan mengambil mudah isu-isu kepatuhan SOP di tempat kerja,” katanya.

Tambahnya lagi, kes jangkitan dalam kalangan kakitangan kesihatan bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia pernah dilaporkan berlaku pada kluster Telaga di Kedah sebelum ini pada Ogos lalu.

Justeru, beliau yakin bahawa kerajaan melalui KKM telah mempunyai sebuah pendekatan komprehensif bagi membendung kes jangkitan Covid-19 yang berlaku di hospital.

Pada masa sama, Dr Malina berkata, catatan kes Covid-19 yang tinggi sejak dua minggu lepas berlaku bukanlah kerana langkah kerajaan membenarkan rentas negeri tetapi sebaliknya kerana saringan lapangan agresif dan kelonggaran pematuhan terhadap SOP.

“Kelonggaran bagi aktiviti rentas daerah atau negeri adalah menjurus kepada keperluan kritikal untuk melonjakkan aktiviti ekonomi, sektor pekerjaan serta kesinambungan kehidupan rakyat.

“Kelonggaran rentas daerah atau negeri bukan bermakna kita boleh melakukan aktiviti tanpa sekatan SOP atau kembali dalam situasi sebelum kes Covid-19 berlaku yang mana kita boleh mengambil mudah interaksi sosial serta mengabaikan SOP,” katanya.

Katanya, setiap individu dalam masyarakat perlu sedar bahawa kejayaan menurunkan kes Covid-19 adalah hasil kerjasama yang baik daripada semua pihak dalam pematuhan SOP yang dibantu dengan penguatkuasaan undang-undang.