Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

Operasi memindahkan mangsa banjir di perumahan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong, Kemaman. (Foto: Ihsan APM)
Operasi memindahkan mangsa banjir di perumahan Rumah Mampu Milik Teluk Kalong, Kemaman. (Foto: Ihsan APM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila mangsa yang terlibat pemindahan meningkat kepada 5,869 orang, melibatkan 1,516 keluarga.

Sehingga jam 8 malam ini, empat daerah yang terjejas ialah Kemaman, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu serta kesemua mangsa kini ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, hujan lebat masih berlaku di beberapa daerah, namun beberapa lembangan sungai utama di negeri ini menunjukkan trend menurun di sebelah hulu.

"Daerah Kemaman adalah yang paling teruk terjejas dengan mangsa kini meningkat kepada 4,961 orang, melibatkan 1,198 keluarga. Kesemua mangsa kini ditempatkan di 24 PPS.

"Mangsa di daerah Hulu Terengganu pula meningkat kepada 592 orang daripada 231 keluarga dan kesemua mereka kini sudah dipindahkan ke 10 PPS.

"Seramai 305 mangsa di Dungun kini ditempatkan di lapan PPS, melibatkan 84 keluarga manakala di Setiu, tiga keluarga melibatkan 11 mangsa kini ditempatkan di satu PPS," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya lima sungai di Terengganu yang masih melepasi paras bahaya, berbanding sembilan sungai pada tengah hari pada Sabtu.

Dua sungai di daerah Kemaman yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman yang merekodkan bacaan 5.12 meter, meningkat berbanding tengah hari tadi iaitu 4.92 meter dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak menurun kepada 18.56 meter, berbanding 19.35 meter sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih yang sebelum itu turut melepasi paras bahaya dengan 14.61 meter bagaimanapun kini menurun kepada paras amaran, 13.48 meter.

Di Dungun, dua sungai yang melepasi paras bahaya iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (12.81 meter) dan Sungai Dungun di Kuala Jengai (22.74 meter) manakala di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping turut melepasi paras bahaya iaitu 20.73 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa banjir di Terengganu meningkat 5,166 orang