Sabah tetapkan had umur minimum berkahwin tepat

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan Sabah menetapkan had umur minimum 18 tahun untuk berkahwin di negeri itu adalah tepat pada masanya dan langkah berani dalam usaha untuk mengurangkan perkahwinan bawah umur.

Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesamarataan Hak dan Jantina, Kasthuriraani Patto berkata rakyat Malaysia menyambut baik keputusan itu dan berharap Sabah akan melaksanakan peruntukan di bawah Undang-undang Sivil, Undang-undang Syariah dan Undang-undang Adat yang antara selaras satu sama lain untuk mengurangkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Keputusan kerajaan negeri menetapkan had umur minimum 18 tahun untuk perkahwinan di negeri ini adalah sebagai hadiah Tahun Baharu Cina untuk semua kanak-kanak, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

"Keputusan penting dan signifikan ini tidak mungkin dicapai tanpa usaha bersama oleh Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Orang Asli Sabah, Jannie Lasimbang dan pasukannya terdiri daripada penggubal undang-undang, hakim, masyarakat sivil, ketua adat, ketua suku kaum dan ketua kampung untuk menjadi penjaga kanak-kanak dengan menggembleng pengetahuan, pengalaman dan kuasa mereka untuk bekerjasama bagi mengurangkan jumlah perkahwinan bawah umur di negeri ini, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kasthuriraani yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP menggesa para pemimpin agama semua negeri untuk menangani hak, kedudukan dan peranan anak-anak dalam masyarakat sebagai masa depan negara, lebih-lebih lagi, Malaysia telah menandatangani Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

Pada Isnin, Bernama melaporkan bahawa Kerajaan Sabah menetapkan had umur minimum untuk berkahwin di negeri itu ialah 18 tahun susulan pembentangan cadangan mengenai had umur minimum perkahwinan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada sidang Parlimen yang terakhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: