Warga emas maut diserang babi hutan

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian tangan dan kaki akibat diserang babi hutan semalam. Gambar kecil: Babi hutan yang ditembak.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian tangan dan kaki akibat diserang babi hutan semalam. Gambar kecil: Babi hutan yang ditembak.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga emas maut akibat diserang babi hutan di sebuah kebun kelapa sawit di Tanah Hitam, Chemor, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, Soo Chau, 71, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian tangan dan kaki.

Kejadian turut mengakibatkan seorang lagi lelaki cedera diserang babi terbabit ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa masuk ke kebun untuk mencari cendawan.

"Mangsa telah terserempak dengan seekor babi hutan yang dipercayai telah terlepas dari jerat dipasang pemburu haram.

"Haiwan itu bertindak ganas menyerang mangsa, seorang lelaki yang secara kebetulan melalui tempat kejadian turut diserang ketika cuba menolong mangsa," katanya.

Menurutnya, babi tersebut kemudiannya lari ke kawasan semak berhampiran, namun terperangkap selepas dawai jerat yang terikat di kaki hadapan tersangkut antara akar pokok.

"Jabatan Perhilitan segera dimaklumkan akan kejadian itu dan anggota yang tiba berjaya menembak mati haiwan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat, manakala mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima makluman kejadian itu sekitar jam 12 tengah hari memaklumkan terdapat seekor babi telah menyerang penduduk.

"Tiga anggota Perhilitan yang ke lokasi kejadian mendapati haiwan yang menyerang mangsa masih ada di situ.

"Orang ramai takut untuk menghampiri mangsa kerana bimbang dengan keadaan haiwan itu," katanya.

Menurutnya, daripada siasatan, babi terbabit berkemungkinan bertindak ganas selepas terkena jerat kabel yang dipasang.

"Ada kesan cedera pada haiwan itu, bagaimanapun babi berkenaan telah ditembak mati oleh anggota atas faktor keselamatan awam," katanya.