Guan Eng nafi rancang tamatkan perkhidmatan feri

Guan Eng menunggu ketibaan feri di Tanjung City Marina di sini hari ini.
Guan Eng menunggu ketibaan feri di Tanjung City Marina di sini hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Pimpinan kerajaan terdahulu menyangkal dakwaan beberapa pihak kononnya pernah bercadang dan merancang untuk menghentikan perkhidmatan feri ikonik di Pulau Pinang ketika memimpin negara sebelum ini.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu, Anthony Loke Siew Fook tidak pernah bercadang malah tidak pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan menghapuskan perkhidmatan feri.

Menurutnya, ada pihak cuba memutar belit isu tersebut apabila menuduh dirinya bersama Anthony juga pernah bercadang menghapuskan perkhidmatan feri untuk digantikan dengan katamaran.

"Tidak pernah sekali pun saya mahu pun Anthony menyebut akan menghentikan perkhidmatan feri ketika kami berada dalam kerajaan sebelum ini. Dalam keadaan sekarang, ada pihak yang cuba memutar belit isu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkhidmatan feri Pulau Pinang diteruskan: Tengku Zafrul

Pulau Pinang terima keputusan kekalkan khidmat feri

Katamaran ganti feri di Pulau Pinang

"Berita yang mereka sebarkan separuh sahaja. Kadang-kadang tajuk berita tidak sama (berlainan) dengan isi kandungan (berita). Ini taktik kotor yang dimainkan oleh MCA dan kuncu-kuncunya," katanya ketika ditemui di Tanjung City Marina, di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng bersama pimpinan DAP Pulau Pinang bersatu hati mempertahankan perkhidmatan feri di Pulau Pinang.
Guan Eng bersama pimpinan DAP Pulau Pinang bersatu hati mempertahankan perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, keputusan yang dibuat Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk mengekalkan perkhidmatan feri adalah keputusan yang tepat.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Kewangan kerana bersetuju dengan permintaan saya agar perkhidmatan feri dikekalkan. Ia bukan bermakna saya menentang perkhidmatan katamaran tetapi biarlah ia dijalankan secara serentak seperti yang disyaratkan.

"Ini bermakna, selain perkhidmatan feri, katamaran juga akan beroperasi. Sekurang-kurangnya, biarkan dua atau tiga buah feri berjalan seperti biasa.

"Ini kerana, feri adalah perkhidmatan asas Pulau Pinang sejak 126 tahun lagi. Jika ia diteruskan, generasi akan datang turut berpeluang merasai menaiki feri," katanya.

Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang akan terus mempertahankan agar perkhidmatan feri di Pulau Pinang dikekalkan.
Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP Pulau Pinang akan terus mempertahankan agar perkhidmatan feri di Pulau Pinang dikekalkan.

Terdahulu, menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong membidas kenyataan Guan Eng yang didakwa sengaja memutar belitkan isu feri.

Ka Siong berkata, DAP diingatkan tidak memberi kenyataan yang mengelirukan rakyat apabila menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkhianati Pulau Pinang dengan menamatkan perkhidmatan feri di negeri itu.

Tambahnya, Anthony Loke sendiri telah mengumumkan di Dewan Rakyat pada 1 Ogos 2018 bahawa RM90 juta akan diperuntukkan kepada Prasarana Malaysia Berhad untuk merealisasikan perkara tersebut.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, pihaknya akan tetap mempertahankan agar perkhidmatan feri diteruskan dan akan kembali ke negeri ini pada 1 Januari nanti bagi memastikan feri berjalan seperti biasa.

"Kami akan terus memastikan perkhidmatan feri akan diteruskan dan tidak ditamatkan seperti yang dicadangkan sebelum ini.

"Saya berharap, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan menghormati keputusan yang dibuat Menteri Kewangan berhubung pengekalan perkhidmatan feri di Pulau Pinang," katanya.