X

Kindly register in order to view this article
!

Nama ibunda tercinta diabadi pada Masjid Ar-Rahah

Masjid Ar Rahah - Foto megajuta.com.my
A
A

KUALA LUMPUR - Tugasnya membesarkan lima putera sendirian selepas kehilangan suami pada usia muda bukan perkara mudah namun Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah cekal melunaskan amanah sebagai ibu dan ayah dalam membesarkan anak-anaknya sehingga mereka menjadi insan berjaya.

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan tidak terhingga ibunda tercinta, anak bongsu Allahyarhamah, Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak yang juga bekas Pengerusi CIMB, membina sebuah masjid di Kampung Kerinchi di sini dan mengabadikan nama ibu kesayangannya pada masjid itu yang dikenali Masjid Ar-Rahah.

Beliau menyumbangkan dana berjumlah RM10.6 juta untuk membina masjid tersebut di atas tapak seluas 1.7 hektar.

Pembinaan masjid yang berkonsepkan seni bina Uzbekistan iaitu banyak menggunakan ukiran motif bunga dan geometri, bermula pada 14 April 2010 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2012 sebelum dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 21 Oktober 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Rahah banyak tabur jasa bantu suami: Dr Mahathir

Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara

Tun Rahah yang juga ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggal dunia pada usia 87 tahun di Pusat Perubatan Prince Court di sini, kira-kira 4.45 petang semalam.

Kira-kira 7.50 pagi tadi, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah dibawa ke masjid itu untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Urusan penghormatan terakhir juga berlangsung di masjid itu sebelum jenazah dibawa ke Masjid Negara untuk disemadikan di Lingkaran Makam Pahlawan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Mohd Ajib Ismail berkata, Masjid Ar-Rahah mampu memuatkan 2,500 jemaah pada satu-satu masa dan aktif menganjurkan pelbagai majlis ilmu serta kelas agama untuk jemaah di kawasan sekitar.

“Tapak masjid yang terletak di kawasan berbukit ini pada asalnya ialah kawasan penempatan setinggan yang merupakan tanah milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Ada lima surau di sekitar Kampung Kerinchi yang bernaung di bawah masjid ini iaitu Surau Al-Hidayah, Al-Hijrah, Ihsaniah, A'liyah serta Madrasah Ittifaqiyyah, dah jemaah surau terbabit menunaikan solat Jumaat di masjid ini,” katanya.

Tun Rahah, puteri bongsu tokoh politik negara Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar, dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Baharu.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki, iaitu Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.

Tun Rahah bergelar balu pada usia muda iaitu ketika berusia 43 tahun selepas Tun Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 akibat leukemia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!