Pelancongan Langkawi kembali ‘bernafas’

Kelihatan penumpang tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
Kelihatan penumpang tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) ketika tinjauan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Sektor pelancongan domestik pulau peranginan bebas cukai yang terkesan akibat pandemik Covid-19 kini kembali ‘bernafas’ apabila semakin banyak pesawat melibatkan empat laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) tiba setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Ahmad Hezri Adnan berkata, jumlah penerbangan yang semakin meningkat itu menambah bilangan pelancong yang tiba seterusnya memberi tempias positif kepada pengusaha pelancongan di pulau ini.

"Semalam, sejumlah 27 penerbangan tiba di LIA, manakala hari ini sebanyak 23 penerbangan lagi masuk membawa pelancong ke pulau ini. Kita juga dimaklumkan tempahan bilik penginapan diterima hotel sekitar pulau ini sangat positif, sekiranya perkembangan ini berterusan, sasaran 250,000 pelancong sepanjang bulan ini dijangka dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung AirAsia AK6289 dari Kota Bahru ke Langkawi membawa 96 penumpang yang tiba pada 1.15 tengah hari di LIA pada Sabtu.

Bernama difahamkan, LIA mula mengendalikan lebih 20 penerbangan masuk sehari sejak Khamis lepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan trend tersebut akan berterusan sehingga akhir bulan ini.

Mengulas mengenai laluan Kota Bahru-Langkawi, Hezri berkata,AirAsia dijadual akan membuat penerbangan tiga kali seminggu iaitu pada Selasa, Khamis dan Sabtu bermula pada Sabtu.

"Penerbangan hari ini mengambil masa satu jam lima minit itu membawa seramai 96 penumpang dari Kota Bahru tiba pada 1.15 tengah hari tadi, manakala penerbangan Langkawi-Kota Bahru membawa 108 penumpang berlepas pada 1.40 tengah hari.

"Jumlah penumpang masuk dan keluar itu sangat baik bagi memastikan laluan penerbangan ini dapat terus dikekalkan. Bagi memastikan perkara tersebut, LADA bersama pemain industri dari Langkawi akan merangka promosi di Kota Bahru melibatkan pemain industri di sana serta badan pelancongan bertanggungjawab pada Januari tahun hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hezri berkata, selain penerbangan sulung melibatkan laluan Kota Bahru-Langkawi, AirAsia akan turut membuka laluan Ipoh-Langkawi bermula Rabu depan (23 Disember). - Bernama