ERC yakin kerajaan terima 49 syor reformasi dicadangkan

Ab Rashid
Ab Rashid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yakin kerajaan akan menerima kesemua 49 syor reformasi pilihan raya yang dikemukakan Ogos lalu.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, syor tersebut bagaimanapun dijangka dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, kerajaan sudah menerima syor yang dikemukakan dan berharap akan diguna pakai.

“Sebelum ini ada masalah dalaman dan pentadbiran dalam kerajaan. Kita juga dimaklumkan kerajaan sudah melantik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi jawatankuasa yang meneliti cadangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Minda Merdeka di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jelasnya, meskipun kesemua syor tersebut tidak sempat dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun beliau memaklumkan bahawa 32 daripada 49 syor yang dicadangkan itu boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

Pada Isnin lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Mohamed Azmin ditubuhkan bagi meneliti kajian menyeluruh ERC selama dua tahun ke atas keberkesanan sistem dan undang-undang pilihan raya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah badan khas khusus bagi melihat kepada aspek perlaksanaan syor yang dicadangkan itu.

Ketika ditanya berkenaan kesesuaian negara untuk melaksanakan undi pos secara meluas seperti yang dilaksanakan di negara luar, beliau berpandangan Malaysia masih belum bersedia untuk melakukan sistem cara undian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sistem undi pos juga hanya akan berjaya sekiranya rakyat benar-benar percaya kepada sistem yang digunakan bagi proses pengundian tersebut.