Jenazah Tun Rahah selamat disemadikan di Makam Pahlawan

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah tiba di Masjid Negara bagi urusan solat jenazah.
Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah tiba di Masjid Negara bagi urusan solat jenazah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, balu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein selamat disemadikan dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, kira-kira jam 3.15 petang tadi.

Jenazah Tun Rahah, 87, disemadikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang meninggal dunia pada 4 Oktober 2014.

Solat jenazah, tahlil serta bacaan talkin dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni.

Allahyarhamah merupakan ibu kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah bersama-sama ahli keluarga Allahyarhamah turut menyaksikan perjalanan terakhir Tun Rahah.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah dibawa dari Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dan tiba di Masjid Negara pada jam 2.15 petang.

Konvoi turut yang disertai 32 kenderaan ahli keluarga terdekat termasuk Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Rahah banyak tabur jasa bantu suami: Dr Mahathir

Artikel Berkaitan:

Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

Pada sebelah pagi, jenazah Allahyarhamah Tun Rahah dibawa dari kediamannya di Jalan Eaton ke Masjid Ar-Rahah untuk dimandikan dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebelum orang ramai dibenarkan memberikan penghormatan terakhir bermula jam 9‬ pagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menghadiri istiadat pengebumian itu.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes juga memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah tiba di Masjid Negara bagi urusan solat jenazah.
Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah tiba di Masjid Negara bagi urusan solat jenazah.

Istiadat pengebumian berlangsung dalam keadaan cuaca mendung, seakan turut berduka dengan pemergian srikandi negara itu.

Wajah-wajah pilu jelas kelihatan dalam kalangan hadirin yang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarhamah di Lingkaran Makam Pahlawan.

Istiadat turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Usai tahlil dan bacaan talkin, Tunku Azizah memulakan upacara menyiram air mawar diikuti oleh Muhyiddin dan Najib serta ahli keluarga Allahyarhamah yang lain.

Ini diikuti upacara penyerahan bendera Malaysia oleh Mohd Sallehhuddin kepada Najib, menandakan selesai Istiadat Pengebumian Negara Tun Rahah.

Tun Rahah meninggal dunia petang Jumaat selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor merupakan puteri bongsu kepada tokoh politik tanah air Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar.

Tun Rahah mendirikan rumah tangga dengan Tun Abdul Razak Hussein pada 4 September 1952 dan mereka dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Pelbagai darjah kebesaran, anugerah dan pengiktirafan diterima Allahyarhamah sepanjang hayatnya, termasuk Darjah Seri Setia Mahkota daripada kerajaan persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran 'Tun', Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia selain Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia.