Projek model ladang buluh pertama di Kuala Berang

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan membangunkan projek model ladang buluh pertama di Kampung Teris, Kuala Berang, di sini bermula Januari 2021.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, projek bernilai RM5 juta itu akan dilaksanakan melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di atas tanah seluas 15 hektar milik TTITC.

Beliau berkata, projek berkenaan meliputi pembangunan model ladang buluh termasuk pembangunan plot kajian dan penyelidikan tumbesaran buluh serta pembangunan dewan latihan.

"Lima spesies buluh terawal iaitu buluh betung, beting, beti, semantan dan hitam antara yang akan dibangunkan di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) MITB.

"Ia akan menjadi pusat rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan serta berpotensi untuk dijadikan pusat eko-pelancongan bertemakan ladang buluh di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoA) pembangunan projek model ladang buluh antara MTIB dan TTITC di sini pada Sabtu.

Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) bersama Ahmad Sansuri (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara MTIB dan TTITC yang berlangsung di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Sabtu.
Mohd Khairuddin (tiga dari kiri) bersama Ahmad Sansuri (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara MTIB dan TTITC yang berlangsung di Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi TTITC, Muhyiddin Abdul Rashid; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairuddin berkata, tempoh matang bagi penanaman buluh memakan masa sehingga lima tahun dengan anggaran hasil yang akan diperoleh kira-kira RM36,000 bagi setiap satu hektar.

Dalam pada itu, katanya, program PPLH turut menawarkan pinjaman mudah kepada pihak industri, koperasi atau agensi yang komited mengusahakan penanaman merangkumi semua spesies buluh komersial.

"Sejumlah RM500 juta telah diperuntukkan bagi pinjaman mudah di bawah program PPLH dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga 2025.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM50 juta bagi program PPLH bagi tahun 2021 telah diluluskan menerusi belanjawan yang dibentangkan sebelum ini," katanya.