Penyeludup lari tinggalkan 2,000 liter petrol

Tong-tong petrol yang dirampas PGA Batalion 9 di Pangkalan Haram Ular, Pengkalan Kubor pada Jumaat setelah ditinggalkan oleh dua penyeludup.
Tong-tong petrol yang dirampas PGA Batalion 9 di Pangkalan Haram Ular, Pengkalan Kubor pada Jumaat setelah ditinggalkan oleh dua penyeludup.
A
A
A

TUMPAT - Dua lelaki bertindak melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa ketika sedang memunggah tong petrol di Pangkalan Haram Ular, Pengkalan Kubor, di sini pada Jumaat.

Kedua-dua penyeludup terbabit turut meninggalkan 80 tong petrol yang bernilai RM3,560 setelah terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua 2,000 liter petrol itu ditemui pasukan terbabit pada jam 9.30 malam.

Menurutnya, semasa membuat rondaan Op Benteng Covid di Pengkalan Haram Ular, anggotanya melihat dua lelaki berada di tebing Sungai Golok sedang memunggah tong-tong di tebing sungai itu.

“Menyedari kehadiran anggota, kedua-dua lelaki tersebut terus melarikan diri menggunakan perahu ke Thailand.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tong-tong berisi minyak petrol di tebing Sungai Golok itu disyaki cuba diseludup dari Malaysia ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kesemua barang rampasan tersebut dibawa balik ke Balai Polis Kuala Jambu untuk pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan: