Lebih 500 mangsa banjir di Kelantan dipindahkan

Keadaan paras air di Sungai Golok yang semakin meningkat.
Keadaan paras air di Sungai Golok yang semakin meningkat.
A
A
A

KOTA BHARU - Keadaan banjir gelombang kedua di Kelantan semakin teruk dengan 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga awal pagi Sabtu membabitkan tiga jajahan dengan lebih 500 mangsa dipindahkan berbanding lebih 400 malam Jumaat.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 8 pagi pada Sabtu, seramai 544 mangsa terdiri daripada 141 keluarga melibatkan Pasir Mas, Kuala Krai dan Tanah Merah sudah dipindahkan.

Mangsa paling ramai adalah di jajahan Kuala Krai iaitu seramai 246 orang merangkumi 61 keluarga telah ditempatkan di sembilan PPS.

Daripada jumlah tersebut, paling ramai dipindahkan adalah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Guchil iaitu seramai 69 orang atau 19 keluarga.

Sementara itu, di Pasir Mas pula seramai 154 mangsa terdiri daripada 40 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS yang mana paling tinggi ialah di SK Bukit Jarum melibatkan 62 orang dengan 14 keluarga.

Di Tanah Merah pula, sembilan PPS telah beroperasi bagi menempatkan 144 mangsa terkini terdiri daripada 40 keluarga.

Jumlah mangsa dijangka akan terus meningkat berikutan hujan lebat masih melanda negeri ini meskipun berlaku sekejap-sekejap.

Dalam perkembangan sama, portal infobanjirwater.gov.my pula bacaan paras air di tiga sungai di negeri ini sudah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi (Gua Musang), Sungai Golok di Jenob (Tanah Merah) dan Sungai Golok di Rantau Panjang.

Artikel Berkaitan:

Bacaan terkini Sungai Galas di Limau Kasturi ialah 59.40 meter (m) dan paras bahaya (59m), Sungai Golok di Jenob pula di paras 23.84 m (bahaya 23.50m), manakala Sungai Golok di Rantau Panjang ialah 10.29m (bahaya 9m) yang mana menunjukkan trend meningkat.

Selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial (Tanah Merah) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu juga sudah melepasi paras berjaja-jaga.

Paras Sungai Kelantan di Kuala Krai ialah 24.26m (berjaga-jaga 20m), Sungai Kelantan di Kusial (Tanah Merah) pula 15.50m (berjaga-jaga 12m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu adalah 3.3m (berjaga-jaga 3m).