Janji untung berganda sekelip mata

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob
A
A
A

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti satu bentuk penipuan skim pelaburan baharu dalam talian yang mendakwa dapat menjana pendapatan menggunakan pelbagai platform media sosial.

Antara platform skim pelaburan baharu yang sedang disiasat itu dikenali sebagai ‘Queqiabao’, ‘Test Fight’, ‘Like and Share’, ‘Zan Zan Le’ dan ‘Isharefans’.

Melalui aplikasi yang diberi secara percuma pada awalnya, mangsa dikehendaki melakukan tugasan ‘like and share’ (suka dan kongsi) di laman Tik Tok atau YouTube.

Setiap ‘like and share’ akan menerima bayaran RM1 dengan 20 kali ‘like and share’ ditetapkan sehari dan keuntungan akan dibayar ke dalam akaun mangsa.

Mangsa ditawarkan pakej dengan nilai bayaran dari RM99 hingga RM9,999 bagi menambah tugasan dan keuntungan lebih tinggi.

Namun begitu, kebanyakan mangsa yang mendapat keuntungan pada peringkat awal bagaimanapun menyedari mereka ditipu apabila jumlah keuntungan yang dijanjikan tidak dapat dikeluarkan manakala pautan yang diberikan kepada mangsa juga telah ditutup.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, ‘Like and Share' adalah antara 22 jenis pelaburan berunsur penipuan yang telah dikesan oleh pihak berkuasa pada tahun ini.

“Kebanyakan mangsa mendapat maklumat mengenai skim pelaburan itu daripada iklan di Facebook.

Artikel Berkaitan:

“Kemudian, sindiket berhubung dengan mangsa secara maya melalui aplikasi laman sosial,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Zainuddin berkata, sindiket pelaburan berunsur penipuan dalam talian menawarkan keuntungan sebanyak 13 kali ganda dalam masa singkat.

“Jika mangsa mahu mengeluarkan semula wang pelaburan, sindiket terbabit akan mengenakan pelbagai caj kononnya sebagai proses pengeluaran wang tersebut. Akhirnya kerugian yang dialami mangsa akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan turut menggunakan seseorang sebagai ‘keldai akaun’ bagi menjalankan aktiviti penipuan pelaburan itu.

“Keldai akaun adalah individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan untuk tujuan tertentu,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob

Berjumpa mangsa

Selain itu, Zainuddin berkata, ada sindiket penipuan pelaburan yang berani bersemuka dengan mangsa.

“Mereka akan memperkenalkan diri sebagai pengurus, ejen atau broker bagi pelaburan berkenaan.

“Biasanya, mereka akan memberi taklimat pelan pelaburan tersebut di hotel atau lokasi tertentu,” katanya.

Menurutnya, polis memerlukan kerjasama pemilik hotel dan resort supaya segera menyalurkan maklumat jika mengesan ada pihak yang menyewa premis mereka untuk menganjurkan program taklimat mengenai pelaburan.

“Maklumat itu berguna untuk kita memantau sindiket berkenaan dari peringkat awal,” kata beliau.

Zainuddin berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan merekrut dan melatih individu untuk menjadi ejen supaya pandai berkomunikasi sehingga berjaya memperdaya mangsa.

“Sindiket akan menyasarkan individu lepasan universiti yang sedang mencari kerja, dilatih sebagai promoter atau pengurus pelaburan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan lepasan universiti supaya tidak sewenang-wenangnya menerima pekerjaan yang ditawarkan oleh sindiket tersebut.

“Golongan tersebut akan mula menyedari pelaburan itu berunsurkan penipuan setelah menyertai latihan yang disediakan sindiket berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minggu,” katanya.

Zainuddin berkata, sindiket pelaburan tersebut mampu membayar keuntungan kepada mangsa pada peringkat awal.

“Namun, sindiket berkenaan tidak mampu membayar keuntungan tersebut setelah tiada mangsa baharu menyertai pelaburan itu,” katanya.

Beliau berkata, sindiket akan memberi pelbagai alasan; antaranya keadaan kewangan yang tidak stabil dan meminta mangsa bersabar.

“Ada juga sindiket akan melarikan diri sehingga gagal dikesan oleh mangsa,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya telah mengenal pasti sindiket yang melaksanakan penipuan pelaburan berkonsepkan pasaran mata wang, komoditi, penternakan, emas, saham dan wang kripto.

“Sindiket menggunakan konsep pelaburan itu hanya untuk mengelirukan mangsa,” katanya.

Zainuddin berkata, mangsa mudah terpedaya dengan keuntungan lumayan serta pelaburan yang tiada risiko yang dijanjikan oleh sindiket berkenaan.

“Mereka mendakwa kadar keuntungan pelaburan itu mampu mencapai dua atau tiga kali ganda berbanding pelaburan lain yang berdaftar,” ujarnya.

No Image Caption

Kes penipuan meningkat

Menurutnya, sebanyak 3,500 laporan polis telah diterima membabitkan sindiket pelaburan berunsurkan penipuan sejak tiga tahun lalu.

“Dalam tempoh tersebut, anggaran kerugian yang dilaporkan adalah kira-kira RM570 juta,” katanya.

Zainuddin berkata, jumlah kes penipuan pelaburan pada tahun ini juga meningkat sebanyak 55 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagaimanapun, statistik jumlah kerugian pula mencatatkan penurunan iaitu sebanyak RM220 juta dilaporkan pada tahun lalu berbanding tahun ini sebanyak RM171 juta,” katanya.

Beliau berkata, majoriti individu berusia 40 hingga 50 tahun menjadi mangsa kepada sindiket pelaburan berunsurkan penipuan sejak 2018 hingga tahun lalu.

“Golongan muda yang menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian pula telah mencatatkan trend peningkatan pada tahun ini,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya menyiasat kes-kes penipuan pelaburan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, 4 dan 27 Akta Jualan Langsung dan Skim Antipiramid 1993.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan dalam talian di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha,” katanya.

Zainuddin berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti Semak Mule, Senarai Amaran Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk melabur.

No Image Caption


Antara kes penipuan pelaburan:


16 Julai 2020

KUALA LUMPUR - Polis menerima 672 laporan penipuan membabitkan sindiket pelaburan haram yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM93.7 juta sejak awal tahun ini.

Daripada jumlah laporan itu, sebanyak 467 daripadanya adalah pelaburan secara dalam talian dengan kerugian dialami mangsa mencecah RM52.3 juta, manakala bakinya penipuan pelaburan secara bersemuka (RM41.4 juta).

29 November 2020

PETALING JAYA – Polis menerima satu lagi laporan berkaitan kes pelaburan ’Like and Share’ membabitkan kerugian RM8,593.

Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Korporat dan Kewangan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk S Sasikala Devi berkata, laporan tersebut dibuat di Gombak, Selangor.

Beliau berkata, polis menerima dua laporan berkaitan kes itu yang dibuat mangsa di Sabah dan Pahang dengan jumlah kerugian RM6,000 dalam bulan November.

30 November 2020

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur menerima dua laporan berhubung skim pelaburan ‘Like and Share’ yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, seorang wanita yang juga pengarah sebuah syarikat membuat laporan mendakwa mengalami kerugian RM9,888.

Katanya, polis turut menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif mendakwa mengalami kerugian RM10,000.

5 Disember 2020

KUANTAN - Hasrat seorang suri rumah dari Raub untuk menikmati pendapatan hasil tugasan secara dalam talian melalui aplikasi ‘Like and Share’ tidak kesampaian apabila wang RM3,100 yang diperoleh gagal dipindahkan ke akaun banknya.

Mangsa berusia 28 tahun itu mendakwa pemindahan wang tersebut ditolak pihak syarikat atas alasan sistem mengalami masalah.