Keluarga Abdul Azeez gagal tangguh kes saman lucut hak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri dan empat anak Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri dan empat anak Abdul Azeez untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan isteri dan empat anak bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway daripada mereka.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam, Ashok Athimulan yang mewakili pihak pemohon iaitu isteri Abdul Azeez, Khadijah Mohd Noor dan empat anak mereka iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa, Khaleeda Azeera dan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim bagi pihak pendakwaan (responden).

Mereka memohon untuk menangguhkan pendengaran kes itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen di sini selesai.

Hakim Muhammad Jamil dalam keputusannya berkata tiada keadaan istimewa untuk mahkamah membenarkan permohonan penangguhan prosiding pelucuthakan itu.

“Prosiding pelucuthakan dan prosiding jenayah adalah dua prosiding berasingan. Di mahkamah sesyen, prosiding jenayah adalah terhadap Abdul Azeez manakala bagi prosiding pelucuthakan, harta-harta yang disita adalah atas nama pemohon,” katanya.

“Pemohon juga tidak memfailkan afidavit dalam prosiding pelucuthakan, maka tidak timbul isu pendedahan pembelaan yang membawa kepada salah laksana keadilan dalam prosiding jenayah yang dihadapi Abdul Azeez,” kata hakim dan menambah permohonan yang difailkan pemohon tidak mempunyai merit.

Terdahulu, Nik Haslinie berkata, hujahan pihak pemohon bahawa pihak ketiga akan menuntut harta yang disita tidak memberikan keadaan istimewa untuk menangguhkan prosiding pelucuthakan itu.

“Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 sendiri akan menjamin hak bahawa pihak ketiga boleh menuntut harta berdasarkan notis yang diwartakan.

Artikel Berkaitan:

“Mahkamah hanya ingin tahu sekiranya harta yang disita adalah dari sumber yang sah atau tidak. Pada peringkat sekarang, kelima-lima mereka perlu menyatakan cara mereka memperoleh harta-harta tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, beban pembuktian dalam kes pelucuthakan ini tidak terletak pada Abdul Azeez tetapi pada penama yang dinamakan dalam permohonan.

“Sehubungan itu, kami hujahkan bahawa pihak pemohon sendiri gagal membuktikan keadaan istimewa bagi penggantungan prosiding pelucuthakan ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mac 2021 untuk kehadiran pihak ketiga di mahkamah bagi menuntut harta itu sekiranya ada, selepas pihak pendakwaan memohon notis kepada pihak ketiga diwartakan.

Prosiding jenayah membabitkan Abdul Azeez, yang menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan hampir RM140 juta, sedang berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini.

Abdul Azeez dibicarakan bersama abangnya, Abdul Latif yang didakwa bersubahat atas kesalahan rasuah.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September tahun lepas manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari tahun ini. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Permohonan keluarga Azeez tangguh saman lucut hak didengar 28 Oktober