PH agih 52 kerusi milik Bersatu

PH akan mengagihkan 52 kerusi yang ditandingi oleh Bersatu ketika PRU14 lalu.
PH akan mengagihkan 52 kerusi yang ditandingi oleh Bersatu ketika PRU14 lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) akan mengagihkan 52 kerusi yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada perbincangan berkaitan pengagihan kerusi antara parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia).

“Dari segi status perundangan, kedua-dua parti itu belum lagi diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Tak ada lagi tanda-tanda akan diluluskan.

"Dari segi PH, kita tak ada sebarang rundingan kerusi dengan mereka. Tak ada,” katanya menerusi satu wawancara bersama Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Pada PRU14 lalu, Bersatu ketika di bawah PH bertanding sebanyak 52 kerusi, selain PKR (51), DAP (35) dan Amanah (27).

Pada 23 Februari lalu, Bersatu mengumumkan bahawa parti itu keluar daripada PH.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sekiranya terdapat persefahaman antara parti sahabat PH yang ingin bertanding dalam 52 kerusi terbabit, mereka boleh berbincang antara satu sama lain.

Dari segi persiapan parti itu menghadapi PRU15 pula, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, sehingga kini ia sudah mencapai 70 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Ia adalah proses yang berterusan. Oleh kerana kita bukan bersendirian, kita ada pakatan, maka jawatankuasa pilihan raya pakatan juga bergerak ke arah yang sama," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu turut mengulas mengenai hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia.

“Negara demokrasi macam Malaysia mana-mana parti boleh lebarkan sayapnya.

“Itu tak ada halangan pada saya. Biar rakyat letakkan penerimaan terhadap parti itu,” katanya.