'Bayangkan malaikat maut tarik nyawa esok'

Ayob Khan (kanan) ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk 'Biar diancam, saya tidak gentar!' yang bersiaran secara langsung dari IPK Johor Bahru malam tadi. Program dikendalikan Haslina (kiri) selaku moderator.
Ayob Khan (kanan) ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk 'Biar diancam, saya tidak gentar!' yang bersiaran secara langsung dari IPK Johor Bahru malam tadi. Program dikendalikan Haslina (kiri) selaku moderator.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Jika itu ditakdirkan... Itulah. Tetapi kita jangan terlalu teruja. Terserah kepada ALLAH SWT," kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ditanya mengenai jawatan Ketua Polis Negara.

Ayob Khan berkata, peluang diberikan ke Johor menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Johor merupakan satu peluang besar untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

"Mungkin sebelum ini, ada orang pertikaikan saya dari Cawangan Khas, mampukah menjadi ketua polis di sebuah negeri iaitu Johor. Tetapi saya buktikan saya boleh.

"Sesiapa yang jadi ketua polis di negeri perlu ada ketegasan, baru boleh uruskan pegawai dan anggota bawahan," katanya menerusi Sinar Live bertajuk 'Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!' yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru di sini malam tadi.

Program dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Menyifatkan Johor sebagai unik, Ayob Khan seterusnya menjelaskan bahawa belum ada 'tangan- tangan ghaib' di negeri ini iaitu tiada lagi campur tangan ahli politik berkaitan tugas anggota dan pegawai polis setakat ini.

Katanya, menjadi seorang ketua polis bukan bermakna perlu dilayan sebagai seorang raja, sebaliknya perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

"Menjadi seorang ketua polis bukanlah bermaksud duduk pejabat pukul 11 pagi, tandatangan dokumen sikit-sikit, petang keluar minum dan kemudian dilayan seperti raja dengan kemewahan beli beg tangan mahal, main golf di Batam dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan malaikat maut tarik nyawa esok, yang menjawab amalan bukan mulut kita. Sebab itu kerja dilakukan perlu bertanggungjawab dan jangan sesekali mengambil rasuah," katanya.

Jelasnya, jika dahulu dadah adalah musuh utama negara, kini rasuah adalah musuh negara yang perlu diperangi, lebih-lebih lagi dalam kalangan anggota polis dan agensi penguat kuasa.

"Jangan kita nafikan isu rasuah dalam kalangan anggota polis ini. Gaji anggota kecil mungkin ada kebenarannya menyebabkan terjadi rasuah dalam kalangan anggota polis.

"Sebagai contoh di Johor, sewa rumah sahaja sudah RM 1,000. Bayangkan jika gaji anggota cuma sekitar RM2,000. Tetapi saya percaya bukan sebab gaji kecil sahaja punca rasuah.

"Sebab itu saya sokong cadangan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk naikkan elaun perumahan kepada anggota polis," katanya.

Tegasnya, rasuah dalam kalangan agensi penguat kuasa lain juga perlu dipandang serius dengan memberi contoh isu kartel daging yang berlaku di negeri ini baru- baru ini.

"Saya tidak nafikan kemungkinan terdapt penglibatan anggota agensi penguat kuasa dalam kes kartel daging. Ini kes besar sudah tentu kena cari dalangnya.

"Tetapi bayangkan jika mereka ini terlibat dengan rasuah, sudah pasti memberi masalah kepada seluruh orang Islam tentang pembekalan daging halal," katanya.