Sukar tentukan punca kebakaran bilik Nazrin, kata saksi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saksi ke-30 perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sukar untuk pihaknya menentukan kebakaran di bilik tidur mangsa berpunca daripada masalah elektrik.

Penolong Pengarah Suruhanjaya Tenaga (ST) Kawasan Selangor dan Kuala Lumpur, Abdul Rahim Wan Chik, 38, berkata, ia berikutan semua perkakas elektrik di bilik berkenaan telah diambil oleh bomba dan soket juga sudah ditutup (sealed).

“Siasatan pasukan ST pada 27 Jun 2018 jam 9 pagi mendapati lokasi kebakaran di bilik tidur itu sudah dibersihkan. Soket juga telah ditutup (sealed) oleh pihak bomba. Namun, hasil pemeriksaan menunjukkan rumah dua tingkat itu dilengkapi dua kotak agihan bekalan elektrik ‘three phase’.

“Siasatan juga mendapati ‘load’ elektrik yang dibekalkan ke bilik tidur yang terbakar itu adalah normal,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman pada Jumaat.

Ditanya juga bagaimanakah litar pintas boleh terjadi, Abdul Rahim menjelaskan, ia berlaku apabila kabel neutral bersentuhan dengan kabel hidup.

Ashyraf Ashy'ari: Bolehkah litar pintas berlaku melibatkan kabel pengecas telefon bimbit?

Abdul Rahim: Dalam kabel telefon bimbit tiada wayar hidup dan neutral. Peralatan elektronik adalah ‘direct current’.

Ashyraf Ashy'ari: Jika berlaku litar pintas, apa akan berlaku kepada kotak agihan bekalan elektrik?

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim: Secara umumnya, sistem pelindungan ‘miniature circuit breaker’ (MCB) di dalam kotak agihan itu akan ‘tripped’ untuk putuskan bekalan elektrik.

Ashyraf Ashy'ari: Bila bekalan elektrik diputuskan oleh sistem MCB akibat litar pintas, ada kemungkinan akan berlaku kebakaran?

Abdul Rahim: Tidak, sebab ‘tripping time’ amat pantas iaitu bawah 40 milliseconds. Mengikut pengujian kotak agihan di tingkat atas rumah itu, kita dapati ‘tripping time’ adalah 18.31 milliseconds.

Ashyraf Ashy'ari: Pada 27 Jun (2018), apa yang Encik Rahim siasat?

Abdul Rahim: Saya jalankan ujian peranti arus di tingkat atas dan tingkat bawah rumah itu dan mendapati sistem pelindungan kotak agihan elektrik adalah berfungsi.

Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung Isnin ini. - Bernama