Palestin terus dikhianati

No Image Caption
A
A
A

TIDAK dinafikan ramai masyarakat dunia menzahirkan solidariti terhadap nasib Palestin yang menjadi mangsa penindasan kejam rejim Zionis sejak sekian lama, namun di sebalik sokongan dan rasa simpati yang dihulurkan tercatat satu lagi episod duka buat bumi Palestin dan rakyatnya.

Bukan sekadar ditindas dan dijajah, Palestin juga terpaksa berdepan realiti pahit apabila beberapa negara Arab menjalin hubungan dengan Tel Aviv.

Pada September tahun ini, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel diikuti oleh Sudan pada bulan Oktober.

Terkini, menerusi ciapan Twitter Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump, Maghribi diumumkan menjadi negara Liga Arab keempat berbuat demikian.

Malah Trump turut mengiktiraf kedaulatan Rabat di wilayah Sahara Barat yang menjadi rebutan antara Maghribi dan gerakan Polisario Front yang menuntut wilayah bekas koloni Sepanyol itu sejak sekian lama.

Dalam pada itu, untuk rekod, Mesir dan Jordan masing-masing telah lebih awal menjalin hubungan dengan Israel iaitu pada tahun 1979 dan 1994.

Sehubungan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Palestin umpama dikhianati apabila semakin banyak negara Islam bersedia untuk menormalkan hubungan dengan Israel dan seolah-olah tidak sensitif dengan penderitaan yang ditanggung Palestin serta rakyatnya selama ini.

Justeru, apa nasib yang bakal menunggu Palestin pada masa depan jika terus diasak tekanan kiri dan kanan?

Artikel Berkaitan:

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Muhammad Fuad Othman mengakui, nasib Palestin akan semakin pudar sekiranya lebih banyak negara bertukar sokongan daripada menyokong yang ditindas kepada menyokong yang menindas.

Tegas Muhammad Fuad, negara-negara Timur Tengah seharusnya berdiri teguh bersama Palestin kerana nasib yang sama boleh menimpa mereka andai Israel berjaya meluaskan sempadan dan cuba merealisasikan impian The Greater Israel.

“Ketika ini Palestin hanya mempunyai sedikit kuasa autonomi di Gaza dan Tebing Barat yang mana kawasannya semakin mengecil akibat penjajahan Israel dan pembinaan rumah-rumah haram Israel di tanah Palestin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, oleh sebab mustahil untuk Israel menyerahkan semula semua tanah yang dirampas, maka two-state solution atau penyelesaian dua negara dilihat sebagai penyelesaian konflik paling sesuai.

Mesir, Jordan, Sudan, Magribi, UAE dan Bahrain kini menjalinkan hubungan rasmi bersama Israel.
Mesir, Jordan, Sudan, Magribi, UAE dan Bahrain kini menjalinkan hubungan rasmi bersama Israel.

Two-state solution bermaksud mewujudkan dua negara yang sah dan mempunyai sempadan rasmi dan kerajaan memerintah yang berasingan.

“Dalam Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), contohnya Resolusi tahun 2013 telah dipersetujui agar negara Palestin ditubuhkan seiringan dengan negara Israel mengikut sempadan yang telah dipersetujui iaitu sempadan sebelum 1967 dan memberi hak kepada pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka,” kata Muhammad Fuad.

Namun malangnya, Israel sentiasa menolak inisiatif yang diutarakan pelbagai pihak bagi menyelesaikan konflik yang berlaku di bumi Palestin.

Tambah Muhammad Fuad, isu perampasan oleh Israel juga ditolak dan dikecam oleh PBB dan hampir semua pertubuhan antarabangsa.

“Sebagai contoh, Resolusi PBB 2334 pada 2016 jelas mempertahankan hak Palestin dan ia perlu dihormati,” katanya lagi.

Maka katanya, adalah perlu tekanan berterusan dilaksanakan agar Israel mematuhi semua resolusi PBB berkaitan konflik dan memulangkan semula hak Palestin.

Penderitaan

Bagi Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, keputusan Maghribi menjalinkan hubungan dengan Israel amat dikesali dan sekali gus menampakkan bahawa negara Afrika Utara itu tidak sensitif dengan penderitaan yang dialami Palestin.

“Walaupun Maghribi berkata akan terus menyokong Palestin namun keputusan itu tetap dianggap sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan perjuangan Palestin,” tegasnya.

Katanya lagi, rejim Zionis cuba mempengaruhi negara seperti Maghribi dalam usaha untuk mengukuhkan pengaruh di benua Afrika.“Niat rejim Zionis itu berkemungkinan akan mencetuskan ketegangan antara Maghribi dan Algeria yang dilaporkan tidak mempunyai hubungan yang baik. Hal ini akan mengundang bahaya dan kerumitan kepada situasi sedia ada yang tegang,” katanya.

Tegas Mohd Azmi lagi, sekiranya normalisasi ini berterusan, maka pelan damai digelar Deal of the Century yang dibanggakan oleh Trump akan terlaksana walaupun beliau bakal keluar daripada Rumah Putih susulan kekalahan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 kepada calon Demokrat, Joe Biden.

“Agenda agar Israel menguasai Timur Tengah dan sebahagian benua Afrika pasti akan diteruskan,” katanya.

No Image Caption

Justeru, Mapim menuntut agar Maghribi menarik balik keputusan menjalin hubungan diplomatik bersama Israel sekiranya benar-benar jujur menyokong Palestin.

“Keduanya, kita mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan sidang khas bagi membincangkan implikasi negara-negara Islam yang telah dikawal oleh rejim Zionis dan juga AS.

“Kita juga mahu kerajaan menyatakan pendirian tegas berhubung isu ini dan menilai semula hubungan dengan Maghribi susulan keputusan diambil negara itu. Israel kini dilihat cuba menyasarkan negara-negara berpengaruh dalam isu ini termasuk Arab Saudi, Malaysia dan juga Indonesia,” katanya.

Laporan media Israel sebelum ini juga mendedahkan bahawa Indonesia mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

The Jerusalem Post memetik kenyataan sumber diplomatik tidak dinamakan mendakwa Oman dan Indonesia akan mengikut jejak langkah UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi menormalkan hubungan dengan Israel.

Sumber diplomatik itu juga mendakwa kedua-dua negara sudah mengadakan rundingan dan kesepakatan itu kononnya akan diumumkan sebelum Trump meninggalkan Rumah Putih pada 20 Januari depan.

Namun, Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizsyah menegaskan tidak ada kemungkinan seperti itu malah mereka juga tidak pernah menghubungi Israel.

Kenyataan itu sekali gus melegakan lebih 268 juta penduduk Indonesia di mana negara itu merupakan penyokong kuat tuntutan Palestin sejak sekian lama dan enggan berkomunikasi dengan Israel.

Pada 3 September lalu, menerusi ucapan pada Perhimpunan Agung PBB, Presiden Joko Widodo turut mengulangi sokongan Indonesia terhadap Palestin.