10,000 katil di PKRC MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

Dr Noor Azmi (dua, kanan) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Rohaizat Yon (depan, kiri) ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di MAEPS hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Azmi (dua, kanan) diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Rohaizat Yon (depan, kiri) ketika melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) 2.0 di MAEPS hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Keseluruhan kapasiti 10,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) dijangka dapat disiapkan Jumaat depan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit Covid-19 bukan warganegara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 yang memfokuskan kepada pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara adalah berikutan peningkatan kes yang mendadak dan hasil pelaksanaan saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dengan menyediakan pusat kuarantin yang lebih kondusif untuk pesakit-pesakit ini," katanya dalam ucapan ketika melakukan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ini kerana kerajaan menyedari bahawa terdapat kekangan daripada pihak majikan untuk menyediakan prasarana untuk proses kuarantin pekerja di bawah seliaan mereka, katanya.

Beliau berkata, penempatan jumlah katil di PKRC MAEPS 2.0 itu dibuat dalam tiga fasa, dengan anggaran jumlah katil sebanyak 3,000 katil bagi fasa 1, 3,300 katil bagi fasa 2 dan 3,700 katil bagi fasa 3.

Berikutan kapasiti besar di kawasan tersebut, Dr Noor Azmi berharap Jawatankuasa PKRC MAEPS 2.0 turut mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan petugas khususnya yang berhadapan secara langsung dengan pesakit positif Covid-19.

"Ini kerana, seperti kita semua sedia maklum, waktu rehat para petugas amat minimum akibat keperluan yang berkehendakkan mereka untuk bertugas dalam jangka waktu yang lama di MAEPS ini. Mereka telah meninggalkan anak dan keluarga masing-masing demi memberikan khidmat kepada negara," katanya.

Beliau berharap jawatankuasa tersebut dapat memberikan keselesaan dan kemudahan seperti talian internet yang pantas agar mereka dapat bersemuka dengan keluarga masing-masing dengan kaedah maya bagi mengubati kerinduan. - Bernama

Artikel Berkaitan: