Sudah tiba masa yang tua berehat

A
A
A

KATA pepatah Melayu lama kita, janganlah mengajar orang tua makan pisang. Orang tua banyak pengalaman. Sudah tahu cara mana hendak makan pisang.

Maka, eloklah orang muda menghormati orang tua. Jangan banyak membantah. Nanti dikatakan kepada orang muda bak kata pepatah Melayu lama lagi, belum pandai membuang hingus sudah hendak berjuang lidah.

Lagipun orang tua-tua ini tua-tua keladi, makin tua makin menjadi. Sebab itulah kena beri ruang dan hormat kepada orang-orang tua. Pengalaman mereka hendaklah diambil kira.

Orang tua-tua banyak makan garam. Bak kata pepatah Melayu lama, dulukan yang dulu makan garam. Garam itu masin menyebabkan terbeliak juga biji mata apabila mencicip rasa masin yang melampau. Silap-silap boleh terkena penyakit.

Namun, kerana orang-orang tua sudah biasa makan garam, maka mereka dapat bersabar walaupun masin rasanya. Tidak akan ada marah membuta tuli. Tenang sahaja menghadapi masalah. Sebab itu, kita orang muda hendaklah mengambil pengalaman daripada mereka. Nasihat mereka hendaklah didengar. Kena banyak bersabar mengikuti resmi orang-orang tua supaya nanti apabila membuat sesuatu pekerjaan, ibarat belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang pandai, maka aman makmurlah agaknya negara kita.

Bagaimanapun, orang-orang tua walaupun banyak pengalaman, masih lagi ada kelemahannya terutama pada musim Covid-19, bak kata pepatah Melayu lagi, kayu buruk tiada bercendawan, lumut tumbuh pula.

Jadi, eloklah berehat sambil bermain dengan anak cucu. Mungkin boleh dikongsi cerita kepada anak cucu tentang zaman muda dahulu supaya mereka boleh menjadikan pengalaman orang tua sebagai pedoman.

Setiap orang ada masa kegemilangannya. Daripada muda sesudah bekerja dan memperoleh pengalaman, maka sampailah masanya tua pula. Jadi, eloklah diberi kepada yang muda. Yang muda jika tidak diajar dari sekarang, mana mungkin memperoleh pengalaman yang mahal harganya, cuma yang tua boleh sekali-sekala memberi nasihat.

Artikel Berkaitan:

Zaman cepat berubah. Jika dahulu yang tua berasakan pada zamannya begitu begini caranya tetapi mungkin zaman sekarang sudah tidak sesuai lagi. Orang muda lain cara berfikirnya. Kadangkala jadi gelojoh tetapi memang zaman sekarang begitulah keadaannya. Semua bergerak pantas, jadi mungkin tidak sesuai dengan yang tua. Lagi-lagi orang tua jalannya perlahan dan kadangkala perlu bertongkat.

Fikiran yang tua mungkin kadang-kadang nyanyuk. Yang mana fikirannya mungkin masih sihat, bolehlah diambil pedoman, cuma orang muda kadangkala egonya tinggi. Mereka bukan tidak boleh menerima nasihat, cuma mereka mungkin mempunyai pendapat sendiri.

Eloklah yang tua tidak masuk campur. Lagipun yang tua sudah lama menguruskan itu ini, eloklah bersara sahaja. Tidak usahlah selalu sahaja mengata itu ini tidak betul seolah-olah yang tua sahaja yang betul.

Biar sahaja yang muda belajar daripada kesilapan sendiri. Yang tua boleh bertenang di rumah bersama keluarga dan anak cucu. Bukan bermakna yang muda tidak dahulukan yang dulu merasa garam, cuma mungkin bagi yang muda beranggapan, rantau jauh tidak terulang, rantau dekat tidak terkendanai.

Yang tua tidak perlulah berkecil hati, mungkin masanya sudah sampai untuk dilepaskan kepada orang muda. Kalau asyik campur tangan hal orang muda nanti, katanya orang muda pula, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Orang muda pun bukan tidak menghormati yang tua, kadangkala fikiran mereka beranggapan orang-orang tua bak kata pepatah, seperti kuda tua, dipekerjakan tidak boleh, hendak dibunuh sayang.

Namun, orang-orang tua tidak perlu kecewa, walaupun telah menggoncang girik, boleh sahaja menjadi seperti bandot tua makan lalap muda. Lagipun tidak salah walau sudah beruban baru berguam.

* Faisal Muhammad ialah seorang jurutera kanan di sebuat syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, eimel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com