Berkatalah yang baik

A
A
A

SEJUJURNYA, semasa kita berbicara dengan seseorang, berapa kali kita berasa gembira dengan perbualan tersebut? Apa yang jelas, kita tidak akan gembira dan selesa dengan semua perbualan kita dengan orang lain kerana masing-masing ada kerenah tersendiri. Pendek kata, sikap suka mengangkat diri sendiri, memperlekehkan orang lain, berlagak pandai dan suka menyindir serta begitu kasar dalam berkata-kata sudah menjadi lumrah dalam setiap perbualan. Situasi sebegitu menyebabkan kita tidak berani mencelah kerana mereka terlalu dominan dalam perbualan tersebut. Itu belum termasuk dengan gelak ketawa yang kuat sesama mereka menyebabkan kita makin jauh terpencil.

Sebetulnya, amat sukar pada hari ini untuk bertemu dengan individu yang cukup bersopan dan berhikmah dalam berbicara. Natijahnya, kita akan melahirkan masyarakat yang agresif dan pentingkan diri sendiri dalam jangka masa panjang. Berbeza pada waktu dahulu, kita akan dimarahi jika bercakap kasar dan menggunakan ayat yang tidak sepatutnya oleh ibu bapa dan golongan yang lebih dewasa.

Setiap kata-kata yang baik menggambarkan budi dan nilai seseorang. Malah, pada majlis-majlis rasmi seperti pertunangan dan perkahwinan, individu yang tinggi nilai bahasanya akan diketengahkan pada majlis berkenaan supaya menaikkan aura kedamaian dan ketenangan pada majlis tersebut.

Benarlah pepatah Melayu ada menyebut, terlajak perahu boleh diundur dan terlajak kata buruk padahnya. Hakikatnya, dengan terlajak katalah, kerukunan rumah tangga boleh runtuh, keakraban persahabatan boleh putus, retaknya silaturahim dan pudarnya ketenangan serta kedamaian.

Pun begitu, hal tersebut sudah tidak begitu penting sekarang. Mereka sudah tidak peduli untuk menjaga hati dan perasaan orang lain sementelah untuk menyumbang kepada kedamaian serta ketenangan. Apa yang penting, mereka berasa puas untuk meluahkan apa yang terpendam dalam diri walaupun begitu pahit untuk ditelan oleh orang lain.Ingatlah, secara sedar atau tidak, semua kata-kata yang buruk mendorong kita untuk menzalimi orang lain.

Berkaitan hal itu, para Hukama pernah berkata: “Anak keturunan Adam pasti akan menghadapi empat perkara berikut iaitu malaikat maut akan meragut nyawanya, ahli keluarga akan meragut hartanya, cacing akan meragut jasadnya dan orang yang pernah dizalimi (ambil harta bukan hak milik, mengumpat, memukul atau tindakan jahat yang lainnya) akan meragut amalnya.”Persoalannya, kenapa masih ramai yang berbangga dengan cara mereka berbicara yang menyakiti orang lain? Walhal segala amalnya akan diragut oleh orang yang pernah dizalimi dengan kata-katanya sendiri. Keadaan itu tidak lain dan tidak bukan disebabkan mereka berasa sudah begitu sempurna. Apabila sudah sempurna, secara tidak langsung menjadikan dirinya semakin hebat dan semakin jauh tinggalkan orang lain.

Justeru, timbullah sikap memperlekeh dan merendahkan keupayaan orang lain. Malah, pada majlis-majlis rasmi pun masih sanggup memperlekeh pertanyaan orang lain yang dinilai tidak mencapai taraf, merendah-rendahkan pandangan orang lain dan paling menyakitkan ketawa berdekah-dekah dengan kesilapan orang lain.

Sedarlah, setiap kata yang baik adalah doa untuk kita dan orang lain. Belajarlah merendah diri kerana ramai yang celaka dengan lidahnya sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sesungguhnya daripada Abu Hurairah RA bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dia fikir sehingga dengannya dia terjerumus ke dalam neraka yang jaraknya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Itu bermakna segala kata-kata yang buruk tidak sedikit pun memberi manfaat kepada kita, malah akan memudaratkan diri sendiri. Sesungguhnya kita begitu jauh daripada sifat yang sempurna. Kesempurnaan itu hanya milik ALLAH SWT.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis