'Jika tidak tegas, baik tukar profesion'

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan bahawa sikap tegas perlu ada dalam diri setiap anggota bagi memastikan tiada masalah timbul dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, sikap tegas memerlukan keberanian setiap anggota dan setiap ketua memerlukan ketegasan berdepan dengan orang bawahan supaya mereka tidak terlibat dengan salah laku atau masalah disiplin.

"Jika tidak tegas, mungkin silap profesion jadi polis. Baik tukar jadi kerja lain sahaja.

"Sejak sekian lama saya terlibat dalam kerjaya polis, saya perhatikan di peringkat daerah, ketua di peringkat ini baik dan bagus tetapi tiada keberanian tegur orang bawah mereka. Sikap ini akan timbulkan masalah," katanya menerusi Sinar Live bertajuk 'Biar Diancam, Saya Tidak Gentar!' yang bersiaran secara langsung dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru di sini malam ini.

Program dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin.

Ayob Khan (kanan) ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk 'Biar diancam, saya tidak gentar!' yang bersiaran secara langsung dari IPK Johor Bahru malam ini. Program dikendalikan Haslina (kiri) selaku moderator.
Ayob Khan (kanan) ditemu bual dalam program Sinar Live bertajuk 'Biar diancam, saya tidak gentar!' yang bersiaran secara langsung dari IPK Johor Bahru malam ini. Program dikendalikan Haslina (kiri) selaku moderator.

Mengulas tentang tular kata-kata marah terhadap anggota dengan bahasa kasar sewaktu sekatan jalan raya (SJR) di Johor baru-baru ini, Ayob Khan berkata, isu bahasa kasar tidak timbul, sebaliknya isu anggota polis meninggalkan khemah SJR itu merupakan kesalahan besar.

"Ya, saya tidak nafikan. Insiden itu berlaku di salah sebuah SJR di Kota Tinggi. Kota Tinggi terletak di timur Johor. Banyak insiden penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) berlaku di situ.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan orang awam, saya ada Facebook tentang khemah SJR kosong. Saya pergi ke khemah SJR itu, saya telefon ketua polis daerah tetapi diberitahu itu fitnah.

"Saya tengok ada senjata atas meja, saya tegur anggota di situ kerana meninggalkan khemah SJR itu adalah kesalahan besar.

"Saya ini orang Kedah, bahasa kasar itu mungkin dipandang dari sudut berbeza. Mungkin dalam keadaan tertentu difahami lain pula. Sebagai contoh, anak jantan. Bagi orang Kedah itu biasa, tetapi dalam situasi lain diterima dalam keadaan berbeza," katanya.

Ayoh Khan bagaimanapun berkata, beliau sudah lali dengan kata-kata keji dan aduan, namun tegas tidak pernah takut mahupun berpatah semangat dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Johor.