MAHB tolak tawaran penghantaran AirAsia

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menolak tawaran pengantaraan AirAsia dalam satu surat dihantar peguam pengendali lapangan terbang itu.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mencadangkan pengantaraan kepada MAHB dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian pertikaian berterusan antara kedua-dua pihak berhubung caj perkhidmatan penumpang di Klia2.

Akta Mavcom menuntut AirAsia dan MAHB untuk mendapatkan pengantaraan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang lain, bagi menjimatkan masa dan kos untuk semua pihak yang terlibat, termasuk sistem kehakiman.

Oleh itu AirAsia, bertindak secara jujur untuk mematuhi Akta tersebut dan mengelakkan lagi wacana awam yang ia percaya menjejaskan sektor penerbangan. Tidak kira apa juga keputusannya, syarikat penerbangan itu percaya pengantaraan akan membolehkan kedua-dua pihak terus bergerak kehadapan dengan cara yang lebih bijak.

“Kami kesal MAHB menolak tawaran perdamaian AirAsia untuk menyelesaikan isu-isu antara kami menerusi pengantaraan, terutamanya memandangkan kenyataan MAHB baru-baru ini bahawa ia ‘optimis isu ini boleh dan akan diselesaikan," Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dipetik sebagai berkata dalam kenyataan itu.

Beliau berkata AirAsia akan mendapatkan panduan daripada Mavcom mengenai langkah-langkah seterusnya bagi menangani situasi tersebut.

"Bagaimanapun, kami berhak untuk mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingan pelanggan dan pemegang saham kami,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: