Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazaar dapat pengiktirafan WHO

Affendi (kanan) menerima bendera Malaysia daripada Komander Misi Op Starlight, Kolonel (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar (kiri) sebagai simbolik Pembubaran Tim Op STARLIGHT-5 pada Majlis Pembubaran Tim Op STARLIGHT-5 di Wisma Perwira ATM hari ini. - Foto Bernama
Affendi (kanan) menerima bendera Malaysia daripada Komander Misi Op Starlight, Kolonel (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar (kiri) sebagai simbolik Pembubaran Tim Op STARLIGHT-5 pada Majlis Pembubaran Tim Op STARLIGHT-5 di Wisma Perwira ATM hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesungguhan dan komitmen anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu pelarian etnik Rohingya di Hospital Medan Malaysia, Cox’s Bazaar, Bangladesh membanggakan pasukan keselamatan itu dan negara apabila mendapat pengiktirafan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, pengoperasian hospital itu membuktikan ATM memiliki keupayaan dah kewibawaan dalam melaksanakan Operasi Ketenteraan Selain Perang, khususnya dalam situasi berkaitan dengan bantuan kemanusiaan dan bencana.

Beliau berkata kejayaan itu mendapat pengiktirafan daripada WHO yang menobatkan Hospital Medan Malaysia sebagai Hospital Medan Tahap 3 yang terbaik, terlengkap dan sangat dipercayai.

“Pasukan turut mencatatkan sejarah dalam perkhidmatan ATM kerana buat pertama kalinya telah berjaya mengoperasikan Hospital Medan Tahap 3 dalam operasi sebenar di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembubaran Ops Starlight 5 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 108,038 pesakit dirawat dan 3,500 pembedahan dilaksanakan, termasuk lebih 900 melibatkan pembedahan berisiko tinggi sepanjang hospital itu beroperasi.

Beliau berkata, kepulangan petugas-petugas dari hospital itu akan memberi manfaat kepada hospital-hospital ATM dalam negara mendapatkan kepakaran dan pengalaman mereka.

“Tanggungjawab besar juga menanti selepas ini kerana mereka akan ditempatkan di seluruh negara untuk membantu (petugas hadapan) dalam menangani penularan Covid-19 yang ketika ini menunjukkan trend peningkatan semula,” katanya.

Affendi turut menyifatkan kesemua petugas yang terlibat sebagai wira sebenar dalam melaksanakan misi kemanusiaan negara.

Artikel Berkaitan:

Hospital berkenaan mula beroperasi hujung 2017 selepas berlakunya kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat konflik di utara Rakhine.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada lagi pasukan ATM akan dihantar bertugas di hospital medan itu dalam tempoh wabak Covid-19. - Bernama