PLUS jangka 1.7 juta kenderaan sempena cuti Krismas, Tahun Baharu

Jadual TTA adalah salah satu langkah mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan R&R pada musim perayaan ini.
Jadual TTA adalah salah satu langkah mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan R&R pada musim perayaan ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai yang akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan di antara 22 Disember 2020 hingga 19 Januari 2021 disaran merujuk jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, jadual TTA itu adalah salah satu langkah mengurangkan kesesakan terutama di laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) pada musim perayaan ini.

Menurutnya, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang atau lain negeri disaran memasuki lebuh raya selepas jam 12 tengah hari.

“Sementara itu, orang ramai dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan lain-lain negeri yang menuju ke Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azman berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan trafik sehingga 30 peratus atau kira-kira 1.7 juta kenderaan pada waktu puncak setiap hari, berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang.

"Memang gembira kerana dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan perayaan Krismas dan Tahun Baharu dengan orang tersayang, namun kita masih lagi berada di bawah situasi Covid-19.

"Orang ramai disaran untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perjalanan di lebuh raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, PLUS telah mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi peningkatan trafik dengan meningkatkan operasi lebuh raya bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk di kawasan R&R.

"Pelanggan dinasihatkan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi pada setiap masa atau boleh menambah nilai kad lebih awal di kira-kira 13,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara.

“Pelanggan lebuh raya juga disaran membuat pra-pesanan makanan dan minuman menerusi aplikasi PLUS ketika berhenti rehat di R&R terpilih," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya menerusi aplikasi PLUS, Twitter @PLUSTrafik, berinteraksi secara digital menerusi Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik lebuh raya atau menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1800-88-0000.