Lelaki Nigeria campak cucu tiri didakwa di hospital

Laporan Sinar Harian mengenai lelaki Nigeria yang mencampak cucu tirinya berumur empat tahun dari tingkat tiga sebuah apartment di Danau Kota 29 November lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai lelaki Nigeria yang mencampak cucu tirinya berumur empat tahun dari tingkat tiga sebuah apartment di Danau Kota 29 November lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Nigeria yang tular dalam kes mencampak cucu tirinya, didakwa di Hospital Kuala Lumpur pada 11 Disember lalu.

Ibekwe Emeka Augustine, 42, didakwa atas enam pertuduhan membunuh, cubaan membunuh, melakukan seks tanpa rela, mencederakan, cubaan bunuh diri dan memasukkan dadah dalam badan.

Dia didakwa di hospital berkenaan kerana masih menerima rawatan akibat kecederaan selepas terjun dari tingkat tiga rumahnya.

Pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, Augustine didakwa membunuh cucu tirinya yang berusia empat tahun.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Berang gagal perkosa anak tiri punca suspek campak cucu

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan kedua, dia mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan perhubungan seks dengan anak tirinya yang berusia 25 tahun tanpa kebenarannya dan dia dituduh mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan cubaan membunuh, menyebabkan cedera parah ke atas isterinya, memasukkan dadah dalam badan dan cubaan bunuh diri, dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dibuat.

Bagi pertuduhan cubaan membunuh anak lelaki kandungnya yang berusia tujuh tahun, dia dipertuduhkan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Augustine didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas isterinya yang berusia 48 tahun dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda.

Sementara bagi pertuduhan cubaan bunuh diri, dia dituduh mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kesemua kesalahan memandangkan dia turut didakwa atas kesalahan membunuh.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit sebuah pangsapuri di Danau Villa, Setapak di sini antara jam 7.45 hingga 8.15 pagi pada 29 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 Januari tahun depan sebagai sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman.

Pada 29 November lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut, dipercayai dicampak datuk tirinya yang juga warga Nigeria berusia 42 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, berdasarkan keterangan rakan dan keluarga, suspek berusia 42 tahun itu didakwa mengalami masalah mental.

ARTIKEL BERKAITAN:Campak cucu tiri: Lelaki warga Nigeria direman tujuh hari

'Saya dengar orang menjerit minta tolong'